MyTeam diperalat untuk Umno?
KEPALA BATAS, 26 Feb (Hrkh) - 'My Team' iaitu projek Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaludin kononnya untuk mencari bakat baru sebagai pelapis bola sepak negara rupanya terselit agenda memperkukuhkan kedudukannya dalam arena politik tanahair.
Semalam program tajaan bersama TM di Komplek Bertam, Kepala Batas menyaksikan ribuan pemuda dan remaja mengadu nasib bagi melayakkan diri terpilih membarisi kesebelasan utama menentang pasukan kebangsaan yang dijadualkan pada 31 Mei depan di Stadium Bukit Jalil.
Malangnya, projek baik itu dicemari dengan gelagat 'Putera Umno' yang mengambil kesempatan di gerai untuk mendaftar dan mengedarkan borang keahlian.
Harakahdaily yang meninjau ke tempat tersebut mendapati beberapa orang petugas di kaunter tersebut dengan bangga menyeru remaja menyertai pasukan itu tambahan pula pada sebelah petang semalam acara perasmiannya telah dilakukan oleh Presiden Umno merangkap Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di Padang Brown, Pulau Pinang.
Ramai beranggapan Khairy memperkudakan, bekas pemain pertahanan pasukan kebangsaan, Serbegeth Singh semata-mata untuk tujuan memperkemaskan kumpulan bapa mertuanya (atau dirinya sendiri) yang kini sedang sengit bersaing dengan kumpulan Timbalan Presiden Umno dan juga Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak.
Bila beliau berjaya mendapat kedudukan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia kelak, para remaja yang sedang meningkat umur pasti lebih senang dengan program berkonsep kesukanan dan hiburan. Sambil menggunakan segala jentera kerajaan dan Umno serta media untuk memperkuatkannya, media juga digunakan untuk menjatuhkan bakal musuhnya termasuk Menteri Besar Selangor.
Seorang pemuda dari Bumbung Lima, Mohd Nizam 27 berkata, beliau terkejut bila datang ke sini mendapati dua bendera berlambangkan Putera Umno terpacak di salah satu khemah."Bila melawat sekitar padang tiba-tiba saya terpandang dua bendera putih dengan lambang Putera Umno berkibar megah, " ujarnya kesal.
Rakan beliau, Shamsul Izham Azhar 24 menyifatkan kehadiran Putera Umno mengedarkan borang kepada hadirin jelas membuktikan projek MyTeam mempunyai hasrat yang tersembunyi.
"Rupa-rupanya MyTeam yang diwar-warkan di kaca televisyen setiap hari adalah agenda Umno," kata beliau yang bekerja di sebuah industri di Perai.
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang, Azizi Ayob dalam kenyataannya meminta Umno memberhentikan tindakan mereka menonjolkan Putera Umno dalam usaha mengembalikan kegemilangan sukan khususnya bola sepak negara.
Selagi Umno mencampur adukkan politik dalam sebarang sukan mutu kesukanan negara sukar ditingkatkan."Biar orang yang benar-benar jiwa sukan menerajui kepimpinan sukan negara baru ada peningkatan bukannya asyik orang politik sahaja, " tegasnya
sumber dari http://www.harakahdaily.net
0 Comments:
Post a Comment
<< Home