Scroll images by bigoo.ws

Sunday, February 26, 2006

Ismail Haniyeh boleh dibunuh - Dichter

BAITULMAQDIS 24 Feb. - Perdana Menteri baru Palestin, Ismail Haniyeh boleh dijadikan sasaran pembunuhan oleh Israel jika Hamas melancarkan serangan terhadap negara Yahudi itu.

Bekas ketua perkhidmatan keselamatan dalam negeri Shin Beth, Avi Dichter menyuarakan ancaman itu dalam satu wawancara yang disiarkan hari ini.Beliau memberitahu akhbar Yediot Aharonot bahawa pelantikan Ismail sebagai ketua kerajaan Palestin tidak harus memberi beliau sebarang bentuk kekebalan
''Saya tidak nampak sebarang situasi yang membolehkan Ismail memiliki kekebalan semata-mata kerana dia menjadi Perdana Menteri,'' kata Dichter yang dijangka memegang portfolio keselamatan kanan selagi Parti Kadima mengekalkan kuasa dalam pilihan raya Israel bulan depan.

''Pada pandangan saya, dia tetap seorang pengganas walau apa pun yang dilakukannya. Jika ada serangan pengganas dan Israel memutuskan untuk melakukan pembunuhan politik, Ismail menjadi sasaran yang sah kerana Hamas tidak mungkin melancarkan serangan tanpa kebenaran pucuk pimpinannya.

''Ismail diminta oleh Presiden Palestin, Mahmud Abbas awal minggu ini untuk menubuhkan kerajaan baru berikutan kemenangan besar Hamas dalam pilihan raya Parlimen pada 25 Januari lalu.

Walaupun mereka sudah menyertai proses demokrasi, Ismail dan barisan pemimpin Hamas lain masih enggan membatalkan perjuangan bersenjata menentang Israel.Hamas telah melancarkan puluhan serangan berani mati terhadap Israel dalam tempoh lima tahun intifada walaupun tiada serangan dilancarkan sejak 12 bulan lepas.

Dichter dilihat sebagai pengasas dasar pembunuhan politik dan semasa beliau mengetuai Shin Beth, dua pemimpin Hamas iaitu Syeikh Ahmed Yassin dan Abdelaziz Al-Rantissi terbunuh dalam serangan udara Israel.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home