Scroll images by bigoo.ws

Thursday, February 23, 2006

MB Kelantan sokong pendirian Habsah Jaafar bertudung

KOTA BHARU, 23 Feb (Hrkh) – Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menyokong penuh pendirian pengarah akaun sebuah hotel lima bintang di Kuala Lumpur, Habsah Jaafar, 46 memakai tudung di tempat kerja.

Beliau berkata, memakai tudung bukan isu politik tetapi ia adalah masalah agama. “Agama inilah yang menyelamatkan manusia di dunia dan akhirat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya hari ini.
Beliau diminta mengulas pendirian Habsah yang terpaksa melepaskan jawatan dipegang sejak lebih 10 tahun lalu, semata-mata kerana mahu memakai tudung. Habsah dilaporkan mendakwa pihak pengurusan hotel terbabit memberi kata dua, sama ada mematuhi peraturan melarang pemakaian tudung ketika bekerja atau melepaskan jawatannya.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, arahan bertudung sudah lama sudah dibuat di Kelantan termasuk kepada pekerja-pekerja wanita beragama Islam di pasar raya.

“Saya minta pegawai, kakitangan kerajaan negeri serta rakyat Kelantan yang beragama Islam bertudung. Ini kerana bertudung adalah perintah Allah. Bertudung boleh menyelamatkan nafsu buas remaja nakal apabila melihat kecantikan perempuan.

“Soalnya kerana apa kita buka tudung, tetapi duit pula kita sembunyikan daripada orang ramai melihatnya. Duit kita bawa cermat dalam beg, kemudian sorot pula dalam poket supaya orang tidak nampak,” ujarnya.

Menurutnya, orang yang tidak bertudung ibarat dia sengaja dedah duit sendiri kepada orang lain sehingga menyebabkan pencuri mudah merompaknya. “Kenapa dalam soal duit kita lebih beringat dan aurat pula sanggup dedahkan.

Bila berlaku rogol kita pula menjadi masalah. Selepas itu baru sibuk dengan polis dan orang kampung. Kalau kita hendak jual sangat maruah diri, maka ada orang yang mahu membelinya dengan murah,” katanya.

Oleh itu beliau menyokong penuh tindakan wanita terbabit dan mendoakan kepada Allah supaya kes tudung tersebut tidak sampai memalukan Malaysia sebagaimana malunya sesetengah negara Eropah yang melarang pelajar Islam bertudung di sekolah.

Beliau juga melahirkan rasa pelik perkara itu boleh berlaku sedangkan Islam adalah agama rasmi negara. “Cuma pemerintah menyempit tafsiran agama kepada perkara-perkara ritual sahaja. Kalau Islam sudah menjadi agama rasmi ia mesti diperluaskan termasuk melaksanakan hokum hudud.

“Hudud ini agama dan bukan hudud PAS seperti yang pernah disebut bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad,” ujar beliau.

Sementara itu, Persatuan Pekerja Islam Kelantan (PPIK) menganggap tindakan pengurusan sebuah hotel melarang pekerja Islam bertudung sebagai mencabul hak asasi dan kebebasan beragama di negara ini.

Setiausaha Kehormat, Che Abdullah Mat Nawi berkata, tindakan itu mencabar kemuliaan agama Islam sebagai agama rasmi di Malaysia. Selain itu katanya tindakan tersebut dilihat sebagai meniru langkah kerajaan Perancis dan Singapura melarang pelajar Islam bertudung ke sekolah.
“Pengurusan hotel terbabit tidak seharusnya mengamalkan peraturan yang mengenepikan hak-hak individu Islam bagi mempraktik cara hidup yang dituntut oleh agama Islam,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sehubungan itu, PPIK membantah keras tindakan pihak pengurusan hotel berkenaan dan melahirkan rasa amat kesal serta sedih kerana ia berlaku di Malaysia, iaitu negara yang diisytiharkan sebagai negara Islam.

PPIK juga mendesak Kementerian Sumber Manusia menyiasat pihak pengurusan hotel terbabit dan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi membela kebebasan dan hak pekerja-pekerja Islam.

Menurutnya juga, pihak pengurusan hotel terbabit perlu menarik balik peraturan sedemikian dan memberi keadilan serta hak yang sewajarnya kepada semua kakitangan.

1 Comments:

Anonymous Anonymous said...

masih ramai yang memilih untuk tidak bertudung, walau pun tidak dipaksa.

http://dugongsenyum.blogdrive.com

12:13 PM  

Post a Comment

<< Home