Scroll images by bigoo.ws

Wednesday, February 01, 2006

Muslimat perlu praktikkan Keluargaku Ahli PAS

KUALA TERENGGANU, 29 Jan (Hrkh) – Ketua Dewan Muslimat PAS Terengganu, To’ Puan Hajah Fatimah Ibrahim menggesa muslimat supaya mempraktikkan sepenuhnya kempen `Keluargaku Ahli PAS’.

Ini kerana, katanya masih terdapat di kalangan penyokong PAS merasa takut dan bimbang untuk bersama dalam program-program yang dianjurkan oleh PAS. Beliau juga berkata, gerak kerja muslimat mesti dipertingkatkan dengan lebih sistematik dan terancang bagi menjana kemenangan parti PAS dalam pilihan raya umum akan datang.
Katanya, muslimat PAS menyedari tugas berat serta tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah yang harus dipikul dalam perjuangan Islam. "Kita perlu bersatu tenaga dalam melaksanakan tugas dan siap sedia menghadapi cabaran mendatang," tegasnya ketika berucap pada Ijtimak Muslimat PAS Kawasan Kuala Terengganu di Markaz Tarbiyah PAS kawasan, Kuala Ibai, dekat sini, semalam. Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merasmikan ijtimak tersebut. Menurutnya, muslimat perlu berusaha mempertahankan kemenangan PAS dalam Parlimen Kuala Terengganu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Wakaf Mempelam dan Batu Buruk dalam pilihan raya nanti.
Tambahnya, bagi kerusi Dun Bandar dan Ladang pula wajar dirampas kembali daripada tangan Barisan Nasional (BN). Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat PAS kawasan, Shamsiah Abu Bakar mengingatkan bahawa cabaran yang lebih besar akan dihadapi oleh muslimat dalam perjuangan Islam.
Katanya, muslimat PAS perlu bersiap sedia bagi menghadapi cabaran tersebut terutama melibatkan tipu daya musuh yang semakin canggih di zaman serba moden ini. Menurutnya, peranan muslimat PAS sangat besar dalam perjuangan Islam di negara ini serta tidak boleh dinafikan sebagai sayap kiri parti. Namun begitu, katanya setiap ahli muslimat PAS perlu sentiasa istiqamah dalam perjuangan Islam meskipun menghadapi pelbagai kesukaran, cabaran dan halangan. Tambah beliau, tujuan ijtimak kali ini bagi meningkatkan lagi semangat juang di kalangan ahli parti dalam mendepani cabaran semasa. Katanya, hanya jiwa yang besar, kesedaran politik yang tinggi, pemikiran yang matang, pendekatan yang tepat dan pendirian yang istiqamah sahaja mampu melaksanakan tanggungjawab kepimpinan ummah yang sentiasa mencabar.
Ijtimak muslimat kawasan ini mendapat sambutan menggalakkan dengan pelbagai aktiviti diadakan termasuk pameran, anugerah tokoh, sukaneka, pertandingan gubahan, mewarna, nasyid dan pertandingan pidato

0 Comments:

Post a Comment

<< Home