Scroll images by bigoo.ws

Thursday, February 23, 2006

Pemuda PAS anjur demo bantah NST Jumaat ini

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Hrkh) - Setelah 24 jam berlalu dan permintaannya agar memohon maaf tidak diendahkan, Pemuda PAS mengambil keputusan membuat demo aman di perkarangan pejabat akhbar New Straits Times (NST) sebaik sahaja selesai Solat Jumaat esok.

Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub berkata demo itu akan bermula di Masjid Abu Bakar Bangsar dan mereka akan berarak ke pejabat NST selepas itu secara beramai-ramai.

Jam 11 pagi 22 Februari semalam, Pemuda PAS mengantar surat kepada NST memohon akhbar berkenaan memohon maaf kepada umat Islam kerana menyiarkan kartun yang dianggapnya menghina Nabi Muhamad dalam akhbar itu pada 19 Februari.

Surat yang dihantar melalui mesin faks kepada Ketua Pengarang NSTP, Dato' Hishamuidn Aun itu memberikan tempoh 24 jam untuk NST berbuat demikian, jika tidak mereka akan mengadakan demo secara besar-besaran membantah kartun itu.

Tepat jam 11 pagi tadi berakhirlah tempoh 24 jam itu dan Salahudin terus menelefon Harakahdaily memaklumkan demo itu akan diadakan selepas permohonan mereka tidak diendahkan oleh NST.

Pada 20 Februari lalu, NST menyiarkan di muka 19 Life & Times kartun yang bertajuk Non Sequiter yang disifatkan sebagai menyindir pihak-pihak yang membantah kartun yang menghina Nabi yang disiarkan oleh akhbar Denmark.

Pada 21 Februari, Pemuda PAS dan beberapa pihak lain membuat laporan polis mengenainya. Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa dalam kenyataannya kesal dengan penyiaran kartun itu.

Nasib NST

Sementara itu, nasib NST kini bergantung kepada Kabinet kerana menurut Menteri Penerangan, Dato' Zainudin Maidin (Zam), Kabinet telah membuat keputusan mengenainya.
Sebelum ini, kerajaan telah menggantung permit Sarawak Tribune dan Guang Ming kerana menyiarkan semula kartun yang menghina Nabi yang diterbitkan oleh sebuah akhbar di Denmark.

Bagaimanapun, tiada sebarang tindakan dikenakan ke atas TV3 sedangkan Harakahdaily difahamkan, Buletin Utama TV3 turut menyiarkan semula kartun itu.

Zam pula telah mencadangkan dalam Mesyuarat Biro Penerangan Umno agar pengarang kanan NST dipecat kerana gagal melaksanakan agenda Umno di akhbar itu.

Zam - Menteri PeneranganCadangan itu disokong oleh dua anggota lain namun Pengerusinya, Tan Sri Muhamad Haji Mohd Taib menolaknya dengan alasan forum lain perlu dicari untuk membuat cadangan sedemikian.

Perkara ini disahkan oleh Dato' Kalimullah Masyeerul Hassan, bekas Ketua Pengarang NSTP dalam tulisannya di NST sendiri.

Pengarang Kanan NST juga turut ditekan oleh beberapa pihak yang tidak senang dengan sikapnya yang tidak berapa menjaga kepentingan Umno tetapi lebih mementingkan profesionalismenya sebagai wartawan.

Kumpulan NSTP pula sedang menjalankan Skim Bersara secara sukarela (VSS). Namun, majoriti yang memohon dari NST adalah pengarang dan wartawan kanan berbangsa Melayu.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home