Scroll images by bigoo.ws

Thursday, February 16, 2006

Mahasiswa Malaysia alu-alukan pengguguran Shafie

KUALA LUMPUR, 15 Feb (Hrkh) - Ketika pelbagai pihak kesal dengan rombakan Kabinet yang dibuat oleh Perdana Menteri semalam, namun pelajar pendidikan tinggi di negara ini mengalu-alukan langkah menggugurkan menteri yang menjaga hal ehwal mereka, Dato' Dr Shafie Salleh.

Shafie digugurkan dari Menteri Pendidikan Tinggi dalam rombakan semalam dengan digantikan Dato' Mustapha Mohamad.

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dalam kenyataan mereka mengalu-alukan tindakan Abdullah itu.

"Tindakan ini melambangkan pihak kerajaan sangat prihatin terhadap tuntutan dan desakan mahasiswa berhubung dengan isu pencabulan hak asasi Mahasiswa dan demokrasi kampus," kata kenyataan yang ditandatangani oleh Pengerusi SMM, Ahmad Rifaudin Abdul Wahab.

Bagi beliau, tindakan ini merupakan satu titik kemenangan kecil bagi mahasiswa Malaysia.

Namun, kemenangan ini bukannya kemenangan yang mutlak,kemenangan sebenar bagi pihak SMM ialah apabila demokrasi kampus dan hak asasi mahasiswa benar-benar terpelihara selari dengan makna dan halatuju sebenar kewujudan universiti, kata mereka.

Sepanjang 2 tahun Shafie menjawat jawatan di kementerian, bermula semenjak 27 Mac 2004, beliau telah melakukan pelbagai kesilapan dan kezaliman khususnya terhadap Mahasiswa, katanya.

Kesan tersebut bukan hanya dirasai oleh majoriti Mahasiswa, malah turut mengakibatkan kesan langsung ke atas sistem pendidikan itu sendiri, katanya.

"Kita dapat melihat bagaimana kedudukan Institusi Pengajian Tinggi Negara telah menunjukkan kemerosotan yang cukup teruk melalui senarai ranking yang dikeluarkan oleh Time Higher Education pada Oktober tahun lepas.

"Selain itu, kita juga dapat melihat bagaimana berlakunya campur tangan politik yang keterlaluan dalam proses perlantikan pentadbiran tertinggi universiti terutamanya perlantikan terhadap Naib cancelor dan Timbalan Naib Canlesor. Kezaliman beliau terhadap Mahasiswa tidak perlu dihitung lagi," katanya.

Pada tahun 2005 sahaja, seramai 18 orang Mahasiswa dihadapkan ke Tribunal Tatatertib Universiti dan perlaksanaan proses pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar berada pada tahap yang cukup kotor sehinggakan majoriti Mahasiswa terpaksa mengambil tindakan untuk memboikot proses pemilihan tersebut.

Pada tahun 2004 pula, iaitu “Tahun Gelap Hak Asasi Mahasiswa” seramai 48 orang mangsa mahasiswa turut dizalimi. Ada mahasiswa yang digantung pengajian hanya kerana mengeluarkan manefesto mahasiswa sempena PRU ke-11, difitnah dan lain-lain lagi.
Justeru itu, katanya, tindakan menggugurkan beliau sebagai menteri merupakan suatu langkah yang sangat tepat dan seharusnya disokong oleh seluruh Mahasiswa memandangkan rekod kesalahan beliau banyak dan pemecatan beliau adalah sesuatu yang munasabah.

Harapan tinggi kepada Mustapha

SMM juga meletakkan harapan yang cukup tinggi kepada Datuk Mustapa Mohamed, Menteri Pengajian Tinggi yang baru dilantik agar segera mengembalikan keyakinan Mahasiswa, ahli akademik dan seluruh masyarakat Malaysia terhadap KPT, sistem pengajian tinggi Negara dan Institusi Menara Gading itu sendiri.

"Kami bersedia membantu beliau dan kementeriannya demi mereputasikan semula universiti tempatan di persada dunia serta menonjolkan kembali kualiti dan potensi sebenar Mahasiswa di Malaysia amnya.

"Selain bersama-sama kerajaan menjayakan program dan matlamat Rancangan Malaysia ke-9 ( RMK 9) terutamanya bagi mencapai matlamat untuk melahirkan modal insan berkualiti," katanya.

Namun, perlu diingat, katanya, selagi mana segala hak Mahasiswa tidak ditunaikan, keadilan tidak ditegakkan dan demokrasi kampus tidak dikembalikan, perjuangan ini tidak akan dihentikan.

"Setiap tangan-tangan kotor yang bertanggungjawab ke atas pencabulan demokrasi kampus dan kezaliman-kezaliman ke atas Mahasiswa wajib berundur atau diundurkan oleh kuasa Mahasiswa," katanya.

Tuntutan

Justeru mereka menuntut kepada Mustapa Mohamed supaya :

1) Menggugurkan segala dakwaan yang disabitkan ke atas Mahasiswa yang kini sedang dibicarakan di Mahkamah Universiti.
2) Mengembalikan semula demokrasi kampus melalui perlaksanaan sistem pilihanraya kampus yang telus dan adil serta kebebasan Mahasiswa dalam berpersatuan.
3) Memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan digantikan dengan suatu akta baru dengan mengetepikan segala seksyen yang menzalimi pelajar.

"Kami diperingkat SMM,sentiasa berusaha untuk membina lembaran baru dengan mana-mana pihak yang ikhlas termasuk pihak KPT sendiri demi memastikan aspirasi Universiti terpelihara serta membuktikan kecintaan kami terhadap institusi ini.

"Kami sentiasa menghormati prinsip-prinsip demokrasi yang hak asasi pelbagai peringkat masyarakat.Oleh yang demikian suatu dialog dan perbincangan bersama SMM perlu diadakan supaya segala kehendak bersama dapat dipenuhi dengan baik.

"Kami juga berharap supaya beliau dapat memikul tanggungjawab ini dengan penuh jujur dan amanah serta mengetepikan segala kepentingan politik dalam sebarang keputusan yang bakal diambil. Sesungguhnya, kezaliman sesuatu yang tetap disanggah oleh mahasiswa," katanya lagi.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home