Scroll images by bigoo.ws

Thursday, February 16, 2006

Rombakan Abdullah kecewakan pemimpin-pemimpin Umno

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Hrkh) - Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi mengenai apa yang didakwa beliau sebagai rombakan kabinet mengecewakan banyak pihak termasuk pemimpin-pemimpin Umno sendiri, kata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Azmin Ali.
"Mengecewakan ... bahkan, saya sendiri telah dihubungi oleh beberapa pemimpin Umno yang melahirkan kekecewaan itu," katanya kepada MT. Menurut Azmin, Abdullah mengecewakan kerana ramai yang berharap beliau akan melakukan satu pembaharuan di dalam kabinetnya. "Beliau sendiri pernah berjanji sebelum pilihanraya lalu untuk memastikan kabinetnya adalah kabinet yang bersih," jelas beliau.

Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu pula menyifatkan pengumuman Abdullah itu akan menghakiskan lagi kepercayaan luar biasa yang disandarkan kepada Abdullah seperti yang tergambar dalam Pilihanraya Umum 2004 yang lalu.
Sambil menyifatkan Abdullah sebagai Perdana Menteri yang paling tidak berpengaruh, beliau berkata, pengumuman itu membukti dan mengukuhkan tanggapan bahawa Abdullah "hanya penunggu jawatan semata-mata, tidak ada lain lagi.
Langsung tidak ada". "Tun Hussein Onn yang dianggap Perdana Menteri paling lemah sebelum Abdullah jauh lebih berpengaruh di dalam kerajaannya berbanding Abdullah," katanya.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Salahuddin Ayub menyifatkan pengumuman itu tidak menggambarkan hasrat Abdullah untuk membanteras gejala rasuah hingga ke peringkat akar umbi.
Sejak Abdullah menjadi Perdana Menteri, beliau dikritik kerana tidak membersihkan kabinetnya kerana mereka berpendapat janji Abdullah untuk memerangi rasuah hanya akan dapat dilaksanakan dengan memperbaharui kabinetnya dengan tokoh-tokoh yang lebih meyakinkan.
Para pengkritik menyifatkan Abdullah terlepas peluang untuk membentuk kabinetnya dalam tahun 2004, di mana beliau hanya membuat rombakan kecil walaupun beliau menyifatkan kemenangannya dalam pilihanraya adalah hasil dari agenda memerangi rasuah.
Peluang kedua, iaitu selepas pemilihan Umno 2004, juga tidak dimanfaatkan oleh Abdullah, kata mereka.

Setiausaha Agung PAS Dato' Kamaruddin Jaffar pula menyifatkan rombakan kabinet itu sebagai "gambaran ketidakupayaan Abdullah sebagai Perdana Menteri dengan kemampuannya yang amat terhad"dan "ketandusan ilham".
"Sekiranya beginilah standard hasil inspirasi Perdana Menteri setelah berbulan-bulan menunggu mencari ilham untuk rombakan kabinet, perkara ini cukup membimbang dan mengecewakan rakyat.
"Tidak ada langsung tokoh yang dilantik yang boleh memberikan satu harapan baru yang lebih optimis untuk masa depan negara," katanya. Ketua Pembangkang yang juga Pengerusi DAP, Lim Kit Siang berkata, pengumuman Abdullah mengenai perubahan kabinetnya sebagai "paling mengecewakan".

0 Comments:

Post a Comment

<< Home