Scroll images by bigoo.ws

Tuesday, February 14, 2006

Gesaan Iran minta OIC mesyuarat tergempar tamparan pada PM

KEPALA BATAS, 13 Februari (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu berkata, gesaan Iran supaya Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mengadakan mesyuarat tergempar membincangkan isu penghinaan kepada Nabi Muhamad s.a.w merupakan satu tamparan hebat terhadap pengerusinya, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Menurut beliau, sepatutnya sebagai Pengerusi OIC Dato' Seri Abdullah lebih prihatin tentang kejadian yang mengoncang sensitiviti umat Islam seluruh dunia bukan mengamalkan sikap tunggu dan lihat.

"Sungguh malu rasanya sikap yang ditunjukkan oleh orang nombor satu negara yang dianggap oleh negara Islam lain sebagai seorang pemimpin yang lantang bersuara tetapi dalam isu penghinaan kepada Junjungan Besar kita dia buat tak tahu saja, " jelasnya ketika diminta mengulas gesaan Menteri Luar Iran, Manouchehr Mottaki.

Menteri Luar, Dato' Seri Syed Hamid Albar semalam berkata, Manouchehr Mottaki menelefonnya dan meminta agar diadakan mesyuarat tergempar Menteri Luar OIC bagi membincangkan beberapa isu terbaru.

Namun begitu, Syed Hamid menyarankan Manouchehr Mottaki memberitahu Setiausaha Agung OIC bagi mendapatkan persetujuan daripada negara-negara anggota lain.

Di mana perginya, kewibawaan Dato' Seri Abdullah sebagai penerajui OIC sekiranya gesaan itu dipersetujui oleh negara anggota.

Sewajarnya, OIC telah lama bermesyuarat berbincang dan membuat pertegasan dengan mengingatkan mana-mana negara yang menoriti umat Islam supaya jangan melakukan penindasan atau menuduh tanpa bukti jika meletus keganasan.

Jelas Haji Mohamad, Dato' Seri Abdullah kelihatan lebih suka memdiamkan diri jika umat Islam tertindas contohnya apa yang berlaku di selatan Thailand, Filipina dan Indonesia.

"Sejak memegang tampuk pemerintahan negara dan menerajui OIC tiada lagi tindakan drastik dilakukan terhadap Kerajaan Thailand yang membunuh umat Islam.

Sebaliknya bersama-sama mencari pelarian yang menjadi buruan untuk dihantar pulang ke negara asal, " tambahnya yang juga Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang.

Sebelum itu, beliau bersama Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayob dan Presiden Teras Keupayaan Melayu (TERAS), Haji Azmi Abdul Hamid menyampaikan ceramah dalam siri roadshow Perlembagaan Persekutuan 121 (1A) di perkarangan Pejabat Perhubungan PAS Negeri di Pongsu Seribu.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Taqiudin Hamzah, Presiden Gerakan Mansuh ISA, Syed Ibrahim Syed Noh, Ketua Penerangan, Omar Hasan dan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Azizi Ayob

0 Comments:

Post a Comment

<< Home