Scroll images by bigoo.ws

Tuesday, February 14, 2006

Umat Islam terus bantah

JAKARTA: Penduduk Islam di Asia melancarkan bantahan secara aman semalam menentang penyiaran kartun menghina Nabi Muhammad oleh akhbar Eropah dan menuntut akhbar terbabit memohon maaf ketika pemimpinnya menggesa supaya Muslim bertenang dan berdialog.

Menteri Luar Denmark, Per Stig Moeller semalam turut merayu pemimpin Arab membantu meredakan kemarahan umat Islam dan menggesa supaya mengelak berlaku keganasan.

"Kerajaan Denmark tidak berniat menghina orang Islam. Kami sedang berusaha memberi penjelasan supaya semua orang bertenang," kata Moeller di Copenhagen.

Ia menyusuli laporan menunjukkan pemulauan barangan Denmark di negara Islam menyebabkan kerugian besar.

Contohnya, Arla Foods, sebuah firma tenusu Denmark-Sweden, yang mempunyai kadar jualan tahunan sebanyak AS$480 juta (RM1.77 bilion) di Asia Barat, menyaksikan jualannya merudum sehingga kosong.

"Kami mengambil masa 40 tahun untuk berjaya di Asia Barat dan melihat jualan terhenti sama sekali dalam masa lima hari," kata jurucakap syarikat, Astrid Gade Niels kepada Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).

Di Asia, bantahan tidak mencetuskan keganasan seperti tindakan membakar bangunan seperti yang berlaku beberapa hari lalu.

Kartun itu pertama kali disiarkan akhbar Denmark September lalu tetapi akhbar Eropah lain yang memperalatkan kebebasan bersuara dengan menegaskan kebebasan hak itu lebih utama daripada agama, menerbitkan semula kartun itu minggu lalu.

Bagi umat Islam, sebarang lakaran atau imej Nabi Muhammad dianggap menghina dan menyinggung agama Islam hingga mencetuskan bantahan di Australia, Afghanistan, India, Indonesia dan Thailand.

Keganasan terburuk berlaku di Afghanistan semalam apabila seorang lelaki mati ditembak dan dua lagi cedera selepas polis dan ribuan penunjuk perasaan bertempur.

Pegawai di Mehtarlam, wilayah Laghman, berkata orang ramai yang dihasut oleh Taliban dan al-Qaeda menggesa tentera Denmark disingkirkan daripada pasukan pengaman Nato di Afghanistan.

Di Afghanistan, beratus-ratus pemuda bersenjatakan kayu berarak di Kabul dan berhimpun di depan kedutaan Denmark dan melontar batu, merosakkan tingkap bangunan itu.

Di Indonesia, negara paling ramai penduduk Islam, tunjuk perasaan diadakan di empat bandar raya. Kedutaan AS turut diserang dengan batu di Jakarta. Polis melepaskan tembakan amaran terhadap 500 penunjuk perasaan melontar batu ke arah konsulat Denmark di Surabaya.

Di India, kedai dan perniagaan di tutup dan lalu lintas lengang di Srinagar, Kashmir selepas mogok dilancarkan oleh kumpulan peguam.

Di Thailand, beratus-ratus penunjuk perasaan mengadakan rapat umum aman di depan kedutaan Denmark menyebabkan kedutaan itu terpaksa ditutup semalam dan beratus-ratus anggota polis dikerah mengawal bangunan itu.

Meskipun kemarahan umat Islam semakin memuncak serta beberapa negara mula memulaukan produk negara yang menyiarkan kartun itu, karikatur tetap disiarkan oleh akhbar Amerika Syarikat, Bulgaria, Denmark, Perancis, Jerman, Itali, Jordan, Sepanyol, Switzerland, Hungary, New Zealand, Australia, Norway dan Poland

0 Comments:

Post a Comment

<< Home