Scroll images by bigoo.ws

Monday, February 13, 2006

MMS lucah : Kerajaan perlu bertindak segera

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) memandang serius pendedahan terkini majalah Mastika edisi Februari 2006 berhubung penularan MMS lucah yang melanda generasi muda mutakhir ini.

DPPWP berpendapat inilah 'trend' baru bahan lucah disebarkan sesudah cakera padat (VCD), majalah lucah dan bahan-bahan dari Internet diperguna sebagai medium menyampaikan bahan tersebut sebelum ini.

MMS lucah merupakan bahan yang paling mudah dan murah untuk diakses memandangkan ianya mudah diperolehi sama ada penghantaran dari telefon berkamera, melalui internet mahupun dibeli dari kedai-kedai alat telekomunikasi, kata Pengerusi Lajnah Pembangunan Remaja (LPR) DPPWP, Suhaimi Aziz.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily pagi tadi ketika mengulas mengenai penularan budaya menyebarkan MMS lucah di kalangan remaja hari ini yang didedah sebuah majalah tempatan baru-baru ini.

"Suatu masa dahulu amat jarang kita mendengar gadis-gadis Melayu yang sanggup mendedahkan gambar bogelnya apatah lagi sedang beraksi seks bersama pasangan mereka.
"Namun kini adegan yang memualkan itu amat mudah diperoleh, bahkan remaja tanpa segan silu dan merasa bangga pula menunjukkan wajah dan tubuh mereka keseluruhannya untuk dirakam," katanya.

Dalam pendedahan eksklusif Majalah Mastika tersebut, beberapa aksi yang meloyakan sempat ditonjolkan.

Antaranya remaja melakonkan adegan seks dengan ramai pasangan, melakonkan seks di tempat terbuka seperti di tangga, di kompleks membeli belah, di hotel, dan di taman bunga.
Lebih memualkan apabila ada remaja yang merakamkan gambar candid (secara sembunyi) di tandas wanita dan bilik persalinan.

Namun yang amat memeranjatkan dan menakutkan ialah apabila ada di antara gambar tersebut merakamkan aksi-aksi gadis dirogol secara bergilir-gili, katanya ketika merujuk kepada pendedahan majalah tersebut.

DPPWP berpendapat antara punca mengapa remaja hari ini begitu terdedah dengan budaya liar ini ialah kerana kurangnya penegasan dan penguatkuasaan kerajaan di dalam membanteras gejala sosial ini, katanya.

DPPWP mempertikaikan tindakan kerajaan membubarkan pasukan penguatkuasa yang ditubuhkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), sedangkan gejala maksiat semakin meningkat.

Soalnya, siapa yang akan memantau dan mengambil tindakan terhadap remaja-remaja yang melepaskan nafsu mereka di taman-taman bunga, di hotel-hotel murah, di tandas-tandas awam kalau bukan satu pasukan penguatkuasa, katanya.

Dalam pada itu DPPWP juga amat kesal dengan sikap acuh tak acuh kerajaan di dalam menangani pusat-pusat hiburan yang berleluasa sehinggakan ada pusat hiburan yang telah 25 kali diserbu masih lagi beroperasi.

DPPWP yakin pusat-pusat hiburan yang berleluasa tanpa kawalan inilah antara punca penularan budaya liar.

"Di sinilah bercambahnya pil-pil ecstasy, perzinaan, pelacuran, penagihan dadah dan pelbagai aktiviti jenayah lain,"katanya.

Justeru itu, DPPWP menyarankan kepada pihak kerajaan, ibubapa dan pihak bertanggungjawab supaya segera mengambil tegas bagi menangani masalah ini.

Satu tindakan tegas diambil kepada sesiapa yang menyimpan dan mengedarkan MMS lucah ini, katanya.

DPPWP merasakan amat mudah bagi pihak polis untuk mengenalpasti penyebar MMS lucah ini sebagaimana pihak polis menumpaskan SMS fitnah yang mengaitkan artis terkenal tanahair, katanya.

Pihak berkuasa juga digesa menyiasat dan mengenalpasti pelakon-pelakon MMS lucah ini dan bawa mereka ke muka pengadilan, katanya.

Selain itu pihak berkuasa juga perlu mengadakan operasi dan penguatkuasaan lebih kerap di tempat-tempat yang dikenal pasti sebagai pusat perzinaan seperti di rumah urut, di hotel murah dan di taman bunga.

Ibubapa juga disarankan agar sentiasa memeriksa telefon bimbit anak-anak agar MMS lucah ini tidak sampai ke tangan mereka, katanya.

Di samping itu, DPPWP juga mengesa kepada para ibu bapa dan ahli masyarakat Malaysia agar bersikap lebih progreasif dan membantu dalam memberikan maklumat kepada berkuasa agama dan polis berkaitan dengan aktiviti tidak bermoral ini, katanya.

Sehubungan itu, DPPWP sekali lagi mendesak kerajaan agar segera mengambil tindakan tegas supaya budaya liar ini tidak terus berkembang dalam masyarakat negara ini.

DPPWP sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan pihak kerajaan bagi menangani masalah ini sebelum ianya menjadi lebih parah, katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home