Tidak kecewa kekalahan di Pengkalan Pasir - Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat
Kota Bharu : Bila kita berjuang di atas nama Islam, maka contoh tauladan kita adalah Rasulullah s.a.w. Segala gerak geri baginda, suka dan duka adalah panduan. Dalam sejarah hidup Rasulullah tiga kali baginda mengalami ujian getir peperangan. Semasa perang Uhud patah gigi Rasulullah, kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, di dalam wawancara majalah i keluaran Februari 2006. Semasa perang Khandak pula, Rasulullah menderita berbulan-bulan lamanya apabila dikepung termasuk oleh bapa mertua sendiri. Begitu juga dalam peperangan Hunain banyak penderitaan yang terpaksa ditanggung. Namun nabi mengajar kita supaya tidak kecewa, yang dibolehkan adalah berasa dukacita, ujarnya.
Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Dalam konteks pilihanraya kecil Pengkalan Pasir, saya berasa dukacita bukan kerana PAS kalah, tetapi saya melihat sebagai kekalahan gerakan Islam. Jika kalah gerakan Islam, yang tinggal gerakan yang berasaskan fahaman lain samaada menggunakan fahaman kebangsaan atau nasionalis. Pada saya ini malang bagi masa depan umat Islam di Kelantan.
Saya selalu ingatkan ahli-ahli PAS supaya jangan banyak bercakap hal PAS atau hal parti bila kita berdepan dengan orang ramai. Ungkapan seperti sokonglah perjuangan PAS, marilah memahami usaha PAS perlu diubah dengan meperbanyak dakwah dan tarbiyah tentang ajaran Islam.
PAS hanya wadah yang boleh naik dan turun, boleh menonjol dan tenggelam. Tetapi Islam tidak akan lenyap di masa dan sampai bila-bila. Selagi bumi wujud, langit ada, selagi itulah Islam akan kekal. Ahli PAS kena ingatkan diri dan orang lain bahawasanya, kalau kita tidak mahu menjadi pendukung kebenaran, Allah SWT akan pilih orang lain. Jadi mana lebih baik, jadi pendukung atau berdiam diri.
Apabila kita bercakap tentang Islam, maka kita menyakinkan manusia tidak kira PAS atau Umno supaya percaya kewujudkan hari kemudian. Hari yang setiap amalan kita dinilai dan dibalas. Jika banyak kebaikan, belasannya Syurga. Sebaliknya apabila banyak kejahatan, balasannya adalah neraka. Sebagai pemimpin, saya antara orang yang pertama disoal oleh Allah SWT di padang mahsyar tentang apa yang telah saya lakukan, ujarnya lagi yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan.
Mengenai Kekalahan PAS di Pengkalan Pasir, Tuan Guru Nik Abd Aziz berkata, Antara kekuatan utama BN dalam setiap kali pilihan raya adalah kekuatan media. Semua saluran yang ada sama ada media cetak atau elektronik digunakan. Sedang pembangkang seperti tidak mempunyai saluran untuk menyuarakan pandangan. Yang ada hanyalah media cetak yang terhad dan saluran internet yang tidak dimiliki oleh semua orang. Ini satu kekurangan yang berlaku dalam amalan demokrasi.
Saya sedar peranan media ini penting mempengaruhi pemikiran rakyat. Sebab itu mula dapat kuasa dulu, saya memohon kepada menteri Penerangan untuk memperolehi lessen radio dan televisyen. Saya tertarik membuat ini kerana semasa pergi ke Lubnan, terdapat banyak saluran radio dan TV Islam yang beroperasi secara kecil-kecilan.
Tetapi permohonan tersebut tidak mendapat reaksi. Nampaknya wujud sekatan media kepada pembangkang yang pada saya salah dari segi demokrasi dan juga dari segi syariat Islam.
Menggulas mengenai hikmah disebalik kekalahan PAS di Pengkalan Pasir beliau berkata, Hikmah pada satu peristiwa itu biasanya meliputi tiga perkara. Pertama, tanbihulghafilin atau untuk mengejutkan manusia yang lalai. Ta¡¦dibulassin atau balasan kepada orang yang membuat maksiat dan Taghfirzunub asad, sebagai kifarah atau balasan disebabkan dosa.
Boleh jadi orang PAS buat lalai selama ini sehingga Allah kejutkan. Atau buat maksiat sehingga Allah beri balasan. Atau buat dosa sehingga Allah balas semasa hidup di dunia ini. Inilah tiga hikmah yang boleh direnung, sekiranya satu perkara buruk menimpa kita, ujarnya lagi.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home