Scroll images by bigoo.ws

Wednesday, February 22, 2006

Palestin: Liga Arab gagal

ALGIERS 21 Feb. - Liga Arab gagal mencapai persetujuan mengenai soal bantuan untuk Palestin ketika ia mula diperintah oleh kumpulan Hamas, di tengah-tengah pertikaian mengenai komitmen daripada negara anggota pertubuhan itu.

Hanya tiga negara dalam Liga Arab menyumbang bantuan kepada Palestin, kata para pegawai Algeria selepas mesyuarat di sini yang berakhir lewat malam tadi.

Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Moussa dan Menteri Negara Algeria, Abdelaziz Belkhadem merayu pada mesyuarat itu kepada semua negara anggota untuk menghulurkan dana.

Bercakap pada sidang akhbar selepas mesyuarat itu, mereka tidak menyatakan negara yang enggan menyumbang atau memberi butiran mengenai pertikaian yang timbul semasa mesyuarat.

Penyumbang terbesar kepada Palestin iaitu Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah telah mengancam untuk memotong bantuan langsung kepada Pihak Berkuasa Palestin sekiranya Hamas mengambil alih kerajaan.

Pemotongan itu boleh menimbulkan masalah politik yang serius kepada rakyat Palestin, kata Amr.

Bagi mendesak lebih banyak sumbangan daripada negara-negara Arab, beliau berkata, sumbangan itu ditujukan kepada rakyat Palestin dan bukan kepada Hamas.

Adalah tidak jelas sama ada negara-negara Arab boleh mengisi kekosongan bantuan asing yang menjadi penyumbang terbesar dalam bajet tahunan Palestin bernilai AS$1.9 bilion (RM6.99 bilion).

Keputusan akhir mengenai bantuan untuk Palestin dijangka dicapai pada sidang kemuncak bulan depan di ibu negara Sudan, Khartoum.

Di Washington, bekas Presiden AS, Jimmy Carter semalam berkata, tindakan menghentikan bantuan antarabangsa untuk masyarakat Palestin boleh mendatangkan kesan negatif yang akan hanya menguntungkan kumpulan militan Hamas.

Beliau berkata, AS sepatutnya menghulurkan bantuannya melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

''Tindakan itu akan memberi gambaran kepada masyarakat Palestin seolah-olah hanya Hamas sahaja yang menjadi rakan mereka,'' kata Carter kepada CNN

0 Comments:

Post a Comment

<< Home