Scroll images by bigoo.ws

Monday, March 06, 2006

40 peratus pekerja terpukul dengan kenaikan tinggi harga bahan bakar - Presiden MTUC

SENAI, 6 Mac (Hrkh) – Kenaikan harga petrol, disel dan gas sebanyak 30 sen baru-baru ini memberi kesan yang sangat besar kepada golongan pekerja yang mendapat gaji bulanan antara RM500.00 hingga RM1,500.

Mereka yang mewakili 40 peratus warga pekerja di negara ini merupakan golongan yang sangat merasakan beban kesan kenaikan bahan bakar ini, kata Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamad, dekat sini.

Tetapi hairannya golongan ini seolah-olah menganggap kenaikan harga bahan bakar yang begitu tinggi ini sebagai satu takdir malah semacam tidak merasakan kesan kenaikan harga ini sedangkan merekalah golongan yang paling terpukul hebat akibat kenaikan harga bahan bakar ini, katanya semasa berceramah di Taman Senai Utama, dekat sini, Ahad kelmarin.

Menurutnya, mungkin dalam jangka masa terdekat ini mereka belum merasai peritnya kesan kenaikan harga bahan bakar ini atau pun mungkin disebabkan kurangnya kesedaran menyebabkan mereka tidak merasa apa-apa.

Walau bagaimana pun kos sara hidup yang semakin tinggi hari ini ditambah pula dengan kenaikan harga bahan bakar ini sudah tentu akan mempengaruhi kenaikan harga barang keperluan harian lannya terutama bahan makanan.

Kerja lebih dari satu

Sekarang ini pun terdapat kalangan pekerja di negara ini yang terpaksa melakukan lebih dari satu kerja sehari semata-mata untuk menampng kos sara hidup yang begitu tinggi terutama mereka yang tinggal di bandar-bandar besar, katanya.

Menurutnya lagi, kenaikan harga barang keperluan harian tidak mungkin dapat dielakkan kerana peniaga akan menjadikan kenaikan harga bahan bakar ini sebahai alasan bagi menaikkan harga barangan lainnya.

"Walau pun baru-baru ini kerajaan memberi amaran kepada peniaga supaya tidak menaikkan harga barang berikutan kenaikan harga bahan bakar ini tetapi persoalannya apakah peniaga akan mematuhi arahan ini?" soal beliau.

Kerajaan selanjutnya kata beliau, hanya mampu memantau harga barang keperluan harian tetapi mampukah kerajaan membendung kenaikan harga barang ini.

"Sepanjang yang kita tahu dan kita alami sebelum ini, setiap kali berlaku kenaikan harga bahan bakar maka akan berlaku juga kenaikan harga barangan lain dan ini memang tidak dapat dielakkan kerana peniaga terpaksa mengeluarkan kos yang lebih berikutan kenaikan harga bahan bakar ini," tegas beliau.

Bagi beliau, negara ini kaya dan rakyatnya tidak sampai pun 26 juta.

"Selain itu negara kita juga dianggap antara negara termaju di kalangan negara dunia ketiga tetapi bagaimana kehidupan rakyatnya begitu tertekan dengan kos sara hidup yang terlalu tinggi selain berbagai-bagai beban cukai yang terpaksa ditanggung," kata beliau.

Katanya, negara ini mempunyai berbagai hasil yang memberi pulangan lumayan kepada negara tetapi kesilapan mengurus kewangan negara selain amalan rasuah yang begitu teruk menyebabkan rakyat terpaksa menanggung beban ini.

Sehubungan itu beliau menyeru seluruh warga pekerja di negara ini menyedari hakikat sebenar yang berlaku dalam pentadbiran negara hari ini sambil berkata, “kaum pekerja perlu berani melakukan perubahan supaya nasib kaum pekerja di negara ini lebih terbela dan segala penindasan terhadap rakyat dapat dihapuskan sama sekali.”

0 Comments:

Post a Comment

<< Home