Scroll images by bigoo.ws

Sunday, March 05, 2006

SUARA UMMAT
1/1427

UMAT ISLAM PALESTIN PERLU SOKONGAN ANDA
Risalah ini diterbitkan sebagai suatu pendidikan dan kesedaran dikalangan masyarakat mengenai isu-isu semasa dalam dan luar Negara yang menyentuh persoalan pelbagai aspek kehidupan umat Islam khususnya dan seluruh masyarakat amnya. Ia bertujuan untuk memberi maklumat dan kesedaran kritikal dikalangan masyarakat untuk mengambil inisiatif yang wajar menangani berbagai isu yang kini sedang melengkari kehidupan umat Islam disamping membina masyarakat agar menjadi semakin peka dan bertanggungjawabuntuk memperjuangkan kebenaran dan keadilan serta keamanan .
PENGENALAN

Risalah kali ini menyentuh persoalan isu rakyat Palestin yang kini sedang melalui suatu babak lagi dalam perjuangan mereka untuk membebaskan diri dari kezaliman pencerobohan dan penjajah Israel. Rakyat Palestin dalam pilihanraya Parlimen baru-baru ( Januari 2006) telah membuat kejutan luar dugaan apabila mereka memilih untuk memberi mandat kepada Harakah Muqawwamah Islamiah (HAMAS) membentuk kerajaan.

Seperti yang dijangka kuasa Amerika Syarikat dan sekutunya terutama Israel menunjukkan reaksi yang sangat negatif terhadap kemenangan HAMAS dan kini rakyat Palestin sekali lagi menghadapi hipokrasi kuasa Barat yang mendakwa menjuarai demokrasi , sedang melancarkan kempen menyekat tertegakkannya kerajaan HAMAS.

Kami mengharapkan huraian kami dalam isu ini akan memberi maklumat dan analisis yang memadai dan mencukupi untuk para pembaca membuat pendirian dan tindakan yang wajar demi membela perjuangan rakyat Palestin dan mempertahankan kesucian Islam dan masjid Al Aqsa , iaitu masjid umat Islam yang mulia.

Selepas membaca risalah ini kami mengharapkan pembaca boleh mengambil tindakan untuk berperanan menyebarkan risalah ini kepada masyarakat secara meluas , menulis surat bantahan kepada Ameriaka Syarikat , menulis desakan kepada sekretaruiat OIC , dan memboikot barangan Israel dan US.

AMERIKA SYARIKAT YANG HIPOKRIT

Amat dikesali bahawa Amerika Syarikat, yang kononnya mendakwa menjadi juara demokrasi, menekan PA (Pihak Berkuasa Palestin) supaya mengembalikan semula bantuan sebanyak $50 juta Dolar US yang diberikan sebelum ini untuk menjana semula ekonomi Palestin berikutan penarikan keluar Israel dari Gaza. Israel juga secara haram menghentikan penyerahan hampir $55 juta Dolar US sebulan dalam bentuk cukai jualan dan bayaran kastam yang dikutip oleh Israel bagi pihak PA.

Langkah menindas ini telah diambil untuk menghukum rakyat Palestin kerana memilih HAMAS dalam pilihan raya baru-baru ini yang berjalan secara bebas dan adil untuk membentuk kerajaan. Dengan menafikan sumber kewangan yang diperlukan untuk HAMAS menjalankan tugas sebagai sebuah kerajaan yang sah dan untuk menjaga kebajikan rakyat , Amerika Syarikat dan Israel berharap kerajaan HAMAS akan runtuh dan digantikan dengan kerajaan yang mudah dipengaruhi oleh kepentingan Israel.

Amerika Syarikat, sebagai syarat untuk memberikan bantuan, mendesak supaya HAMAS mengiktiraf Israel, menghentikan keganasan, dan melibatkan diri untuk Pelan Damai bagi Keamanan. Syarat yang dikenakan ini sebenarnya merupakan peras ugut ke atas HAMAS dan HAMAS berhak untuk menolak desakan US itu. Sepertimana yang dikatakan oleh Ketua Biro Politiknya, Khalid Mish’al, “Kami tidak akan menjual rakyat kami atau prinsip kami untuk mendapat bantuan asing.”

Dalam mengenakan syarat ini Amerika Syarikat nyata bersikap hipokrit dan “double standard”. Ia menuntut HAMAS mengiktiraf Israel tetapi tidak mempedulikan kedegilan Israel yang enggan untuk mengiktiraf hak rakyat Palestin untuk menentukan pemerintahan sendiri (self determination) dan hak untuk rakyat Palestin kembali ke tanah air mereka sendiri sepertimana yang dijamin oleh undang-undang antarabangsa dan pelbagai resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Amerika Syarikat mendesak HAMAS, yang merupakan sebuah pergerakan pembebasan, menghentikan perjuangan bersenjata sebelum perjanjian damai dirundingkan dan ditandatangani. Sebaliknya, Israel pula tidak perlu memberikan komitmen bagi mematuhi undang-undang antarabangsa dan mengakhiri pendudukan haramnya serta menghentikan keganasan ke atas umat Palestin.

Selepas memusnahkan penempatan di Semenanjung Gaza yang sudah kehabisan sumbernya , Israel telah meningkatkan lagi operasi pembersihan etnik di Baitulmaqdis Timur dan pembinaan penempatan di Tebing Barat. Ia telah menjalankan lebih banyak pembunuhan, tangkapan dan mengenakan hukuman secara kolektif ke atas rakyat Palestin tanpa sebarang tindakan berkesan oleh Amerika Syarikat untuk menghentikan pencabulan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia oleh Israel. Ternyata Amerika Syarikat tidak berhasrat untuk berbuat apa-apa untuk menghentikan tindakan Israel yang haram ini.

MAHKAMAH ANTARABANGSA MENGESAHKAN PENCABULAN ISRAEL

Amerika Syarikat mahukan komitmen HAMAS untuk Pelan Damai bagi Keamanan. Tetapi Israel telah membina Tembok Apartheid dan melancarkan lebih banyak penempatan haram dalam wilayah yang dicerobohinya dan terus melakukan pembersihan etnik di Baitulmaqdis. Tindakan-tindakan ini sebenarnya sudahpun membunuh Pelan Damai itu sendiri.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa, dalam memberi pendapatnya berhubung isu Tembok Apartheid pada 9 Julai 2004, telah secara khusus mennyatakan Israel telah mencabul Konvensyen Hague 1907, Konvensyen Geneva Keempat Hak Asasi Manusia, dan Hak menentukan pemerintahan sendiri oleh rakyat Palestin.

Mahkamah itu menekankan bahawa Perhimpunan Agung PBB dan Majlis Keselamatan “perlu mempertimbangkan apakah tindakan seterusnya yang diperlukan untuk mengakhiri tindakan haram itu akibat daripada pembinaan tembok ini…” Melainkan bagi Perhimpunan Agung PBB meluluskan resolusi yang tidak bermakna, nampaknya tiada tindakan berkesan , contohnya mengenakan sekatan , diambil terhadap Israel “untuk mengakhiri tindakan haram yang dilancarkan oleh Israel ini’.

Dengan penuh kebencian terhadap undang-undang antarabangsa dan terhadap pendapat ICJ, pemangku Perdana Menteri Israel , Ehud Olmert baru-baru ini mengumumkan rancangannya untuk menjelaskan sempadan Israel dan mewujudkan Negara Palestin yang lemah menurut kehendak Israel. Mengikut pelannya , Baitulmaqdis dan Masjid Al Aqsa akan menjadi ibu negara Israel.

TANGGUNGJAWAB UMAT ISLAM MEMBELA PALESTIN DAN MEMBANTU KERAJAAN PALESTIN PIMPINAN HAMAS

Kini adalah menjadi tanggungjawab OIC, Negara Islam dan kerajaan-kerajaan yang progresif untuk membantu rakyat Palestin untuk terus hidup dan meneruskan perjuangan mereka untuk membebaskan diri dari penjajahan dan untuk mencapai kebebasan dan keadilan. Rancangan Israel untuk mewujudkan Batustan bagi rakyat Palestin, sama dengan apa yang dilakukan oleh rejim kulit putih ke atas penduduk Afrika di Afrika Selatan. Rancangan ini mestilah dihapuskan dan apartheid di Palestin juga perlu diakhiri.

Kami mengalu-alukan kenyataan oleh Menteri Luar Malaysia , Datuk Seri Syed Hamid Albar baru-baru ini yang menyatakan bahawa Negara Islam perlu memberikan bantuan kewangan dan bantuan lain kepada HAMAS untuk membolehkan ia menerajui Pihak Berkuasa Palestin (PA).

Sehubungan itu, kami menggesa:

1.Kerajaan Malaysia menderma RM $50 juta kepada Pihak Berkuasa Palestin.
2.Negara ahli OIC membantu keperluan kewangan PA dan dengan itu menghapuskan kebergantungan kepada Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah untuk keperluan dana mentadbir Palestin..
3.Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)mengenakan sekatan yang komprehensif terhadap Israel sehingga ia mematuhi resolusi PBB dan undang-undang antarabangsa.
4.Masyarakat sivil(NGO dan pergerakan rakyat) perlu memboikot barangan dan perkhidmatan Amerika Syarikat dan Israel.


Kami juga menggesa setiap umat Islam di Negara ini melaksanakan tindakan berikut:

1.Menulis surat Bantahan kepada Presiden Amerikat Syarikat di alamat berikut:
Presiden George W.Bush
President of the United States of America


2.Menulis surat gesaan kepada Pengerusi OIC untuk membantu kerajaan HAMAS Palestin :

3.Memboikot barangan dan perkhidmatan serta sebarang majlis social yang melibatkan Amerika Syarikat.

4.Mengutip “Sumbangan Minima RM 1 Seorang Untuk Palestin” dan diserahkan kepada Sekretariat Kempen Pertahankan Al Aqsa di alamat Citizen International

Kita juga perlu melancarkan kempen, ‘Minimum $1 untuk Palestin’ untuk menyuarakan sokongan untuk kesejahteraan rakyat Palestin.

Kenyataan ini disokong oleh NGO:
1. S. M. Mohamed Idris, Pengerusi, Citizens International
2. Yusri Mohammad, Presiden ABIM
3. Zaid Kamaruddin , Presiden Jamaah Islah Malaysia
4. Mohd Azmi Abdul Hamid, Presiden TERAS
5. Ustaz Salleh, Presiden Persatuan Ulama Malaysia
6. Ustaz Ghani Shamsuddin, Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia
7. Hj. Mahfuz Omar , Pengerusi IMPAK
8. Syeikh Abu Bakar Awang , Yang DiPertua Persatuan Ulama Kedah
9. Datuk Syeikh Azmi Hj. Ahmad, Pengerusi ISRA’

0 Comments:

Post a Comment

<< Home