Scroll images by bigoo.ws

Monday, March 06, 2006

Dekati masyarakat tanpa mengira fahaman politik

SETIU, 6 Mac (Hrkh) - Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali menyeru para penyokong dan ahli supaya perlu berusaha untuk memenangi hati masyarakat tanpa mengira fahaman politik masing-masing.

Sehubungan itu, katanya pemimpin serta ahli PAS perlu mempertingkatkan hubungan dalam masyarakat tanpa mengira fahaman politik masing-masing.

Tambahnya, PAS kini perlu mendekati masyarakat secara lebih terbuka kerana amalan demokrasi di negara ini memerlukan sokongan rakyat.

“Kita kena menangi hati rakyat sebab kita perlu kepada orang, bukan hendak halau orang daripada kita sama ada orang PAS, orang Umno dan orang tidak berparti,” ujarnya ketika merasmikan Ijtimak Muslimat PAS Kawasan Setius di perkarangan Masjid Lama Merang, baru-baru ini.

Justeru itu, katanya ahli-ahli PAS wajar mendekati masyarakat agar mempunyai tautan serta hubungan baik dengan rakyat di negara ini.

Menurutnya, ramai di kalangan rakyat yang tidak berparti hari ini melihat perkembangan PAS serta kepimpinannya.

“Kita kena bersedia untuk memimpin kerana ramai orang yang tidak berparti sedang melihat kita dan kepimpinan kita,” ujarnya.

Selain itu, katanya ahli-ahli PAS juga perlu bergiat aktif dalam persatuan serta pertubuhan bukan kerajaan yang banyak melibatkan masyarakat umum.

Tambahnya, ahli-ahli parti perlu terlibat sama dengan persatuan nelayan, pertubuhan peladang, persatuan ibu bapa dan guru dan banyak lagi.

Serang Islam guna platform wanita Sementara itu, Yang Dipertua PAS kawasan, Haji Abdul Ghani Che Ambak berkata, musuh-musuh banyak menggunakan plarform wanita dan remaja bagi menyerang Islam.

Katanya, mereka menjadikan wanita, remaja serta pertubuhan badan-badan bukan kerajaan (NGO) menyerang serta mempermainkan kesucian agama Islam.

“Serangan terhadap Islam banyak menggunakan platform wanita dan anak remaja kita. Mereka menjadikan NGO seperti Sisters in Islam untuk membantah undang-undang Syariah dan menyertai IFC,” jelasnya.

Katanya, cadangan penubuhan IFC yang dibawa oleh Sisters in Islam itu amat bahaya kerana ia membolehkan orang Islam menjadi murtad.

Menurutnya, golongan tersebut telah mempergunakan kaum wanita bagi menjadi alat menentang Islam di negara ini.

Justeru itu, katanya PAS perlu mencari jalan bagi memenangkan Islam kembali memerintah serta menumbangkan Umno dan kerajaan BN dalam pilihan raya umum akan datang.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home