Demo bantah NST: Salahuddin jawab Kalimullah
KUALA LUMPUR, 1 Mac (Hrkh) - Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub menyifatkan kecaman Timbalan Pengerusi Kumpulan Akhbar New Straits Times Press (NSTP), Datuk Kalimullah Hassan terhadap demonstrasi aman membantah penyiaran kartun yang mempersendakan Nabi Muhammad s.a.w. di hadapan pejabat New Straits Times (NST) Jumaat lalu memberikan justifikasi yang sangat kuat kepada demonstrasi itu dan kemarahan umat Islam terhadap NST.
Sambil mengucapkan terima kasih kepada reaksi Kalimullah itu, beliau berkata, "Reaksi seperti itulah yang saya tunggu-tunggu dari Kalimullah atau konco-konconya. Semua orang boleh memahami demonstrasi itu sekarang. Jika beliau merasa marah, umat Islam lebih marah lagi apabila Nabi yang kami kasihi dipersendakan dalam kartun yang disiarkan NST itu".
Dubuk tua dan singa sarkas pencen
Malah, kata Salahuddin beliau lebih berterima kasih kepada Kalimullah apabila menggunakan perkataan seperti "si dubuk tua" dan "singa sarkas pencen".
"Kalau Kalimullah merasa beliau berhak untuk menggunakan perkataan-perkataan seperti itu, adakah umat Islam yang dipersendakan Nabi yang lebih mereka kasihi dari diri mereka sendiri tidak berhak menggunakan perkataan-perkataan yang dikecam oleh Kalimullah kerana dari segi sifatnya sebagai kata-kata cercaan, apa bezanya 'dubuk tua' dan 'singa sarkas pencen' dengan perkataan-perkataan yang dikecam Kalimullah itu?" tanya beliau.
"Yang paling saya berterima kasih ialah apabila Kalimullah bertanya, 'tidakkah mereka memikirkan gambaran yang diberi kepada sesiapa yang menyaksikan kumpulan manusia berjubah dan berkopiah membawa sepanduk serta pemidang dengan kata-kata sedemikian'.
"Kalau beliau bertanya begitu, saya juga ingin bertanya, tidakkah kepala-kepala NST yang mengaku beragama Islam memikirkan gambaran yang diberi kepada sesiapapun yang menyaksikan akhbar yang mereka kuasai menyiarkan kartun yang mempersendakan Nabi mereka sendiri? "Mengapa baru sekarang hendak memikirkan perkara itu? Mengapa tidak fikir sebelum ini terutama ketika menulis pembelaan diri yang amat menghina bertajuk ' What the NST says'?" Salahuddin juga menyifatkan Kalimullah tidak Islamik apabila menuduh mereka yang membawa kain pemidang dan sepanduk yang menggelar beliau dan rakan sekerjanya sebagai 'anak haram', ejen 'Zionis' dan 'Singapura' ketika demonstrasi di hadapan pejabat NST adalah ahli dan penyokong PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) .
Apa bukti?
"Sambil mengakui bahawa demonstrasi itu memang turut disertai ahli-ahli PAS dan PKR, saya juga bertanya soalan yang sama kepadanya, apa bukti beliau bahawa yang membawa sepanduk itu adalah ahli dan penyokong PAS dan PKR?
"Ini kerana, beliau mengatakan, "Itulah Pas. Itu jugalah PKR" selepas merungut mengenai kain pemidang dan sepanduk itu," kata Salahuddin.
Dalam tulisannya, Kalimullah ada menyebutkan "Islamik jugakah jika menghukum dan menuduh tanpa bukti?"
Menurut Salahuddin, ada pihak tertentu yang dilihat sendiri oleh beberapa pemimpin PAS yang menghantar sejumlah kain pemidang dan sepanduk ketika perarakan sedang berlansung.
"Dalam keadaan segala tumpuan hendak diberikan kepada demonstrasi, belum sempat mereka menghalangnya, ramai yang mengambil sepanduk dan kain pemidang itu dan mempamer serta mengaraknya.
"Adakah Kalimullah mempunyai bukti bahawa yang menghantar, mengambil, mempamer dan mengarak sepanduk dan kain pemidang yang tidak disukainya itu adalah ahli dan penyokong PAS serta PKR?
"Lebih dari itu, adakah beliau mempunyai bukti bahawa semua yang menyertai demonstrasi yang diadakan selepas solat Jumaat dari Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq di Bangsar itu semuanya ahli dan penyokong PAS serta PKR?" tanya Salahuddin.
Bukan PAS dan PKR saja marah
Beliau juga bertanya, adakah Kalimullah fikir hanya ahli dan penyokong PAS serta PKR sahaja yang marah terhadap tindakan NST menyiarkan kartun yang mempersendakan Nabi Muhammad s.a.w. itu?
"Bukan ahli dan penyokong PAS serta PKR sahaja yang tidak boleh menerima tindakan NST itu tetapi tokoh-tokoh utama Umno juga mengecam penyiaran kartun itu.
"Antaranya bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri Pelajaran yang juga Ketua Pemuda Umno Datuk Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Mohd Taib, Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidin yang menyatakan anggota kabinet termasuk yang bukan Islam kesal terhadap tindakan NST itu, Pengerusi Biro Hubungan Antarabangsa dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Pemuda Umno Datuk Mukhriz Mahathir yang menyifatkan kartun itu "menghina Islam dan Rasulullah" dan Pengerusi Biro Agama Pemuda Umno Datuk Shamsul Najmi Shamsuddin," kata Salahuddin.
Beliau seterusnya memberitahu, walaupun beliau dimaklumkan bahawa ada pemimpin kanan Pemuda Umno yang turut menyumbangkan kain pemidang dan sepanduk, "tetapi saya tidak boleh menerimanya sebagai benar kerana saya tidak ada bukti".
"Bagaimanapun, kalaulah benar, saya berterima kasih kerana kepimpinan Umno sendiri yang mendedahkan segala-galanya," kata beliau.
Menantu PM
Mengenai rungutan pengikut menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin, itu terhadap sepanduk yang menggelar beliau dan rakan sekerjanya sebagai `anak haram', ejen 'Zionis' dan 'Singapura,' Salahuddin bertanya:
"Tidakkah perkataan-perkataan itu sudah cukup lunak terhadap sesiapan pun yang mempersendakan Nabi. Menyiarkan kartun yang mempersendakan Nabi dengan sendirinya mempersendakan Nabi juga.
"Sanggupkah Kalimullah bermubahalah bahawa kartun itu tidak mempersendakan Nabi dan menghentikan perbuatan mengelirukan fikiran orang ramai dengan hujah-hujah yang berputar-putar?" Beliau juga meminta Kalimullah dan NST menghentikan tindakan berpura-pura bodoh dan mendakwa kartun itu tidak mempersendakan Rasulullah.
"Jangan sambung persendaan dan mempersendakan pula pandangan Dr Mahathir yang pernah disanjung-sanjung Kalimullah dalam beberapa tulisannya, Ketua Pemuda Umno, Ketua Penerangan Umno, bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP Datuk Kadir Jasin yang menyifatkan kartun itu mempersendakan Rasulullah malah kabinet yang kesal dengan tindakan NST menyiarkan kartun itu," kata beliau.
Kadir menyifatkan kartun itu bermaksud "awak tunggu dan saya akan lukiskan karikatur Nabi Muhammad. Saya yang melukis ini tiba-tiba menjadi orang yang paling ditakuti. Maksudnya sesiapa yang melukis karikatur Nabi Muhammad akan jadi hero".
Salahuddin bertanya, ajaran siapa, sarjana mana, ilmu apa dan pentafsir yang mana yang menyatakan kartun itu tidak mempersendakan Nabi?
Jangan pura-pura bodoh
Demo bantah NST"Jangan berpura-pura bodoh dan menyatakan oleh kerana tidak ada lukisan Nabi Muhammad dalam kartun itu, ia tidak mempersendakan baginda," kata beliau.
Mengenai istilah 'anak haram,' Salahuddin berkata, walaupun beliau tidak tahu siapa yang membawa sepanduk itu, tetapi oleh kerana ia dibawa di dalam demonstrasi yang turut beliau sertai, beliau terpaksa bertanggungjawab ke atasnya.
"Tetapi, kalaulah benar ahli dan penyokong PAS yang membawanya, sebagai seorang yang pernah menjadi Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Pengerusi ECM Libra, sebuah syarikat tersenarai yang begitu handal mencipta keuntungan sehingga ketua kesayangannya, Khairy, dilaporkan berjaya mengumpul kekayaan hampir RM10 juta dan Kalimullah juga pernah menjadi pengerusi sebuah lagi syarikat tersenarai, Ekowood Berhad, mustahil beliau tidak tahu istilah 'anak haram' dalam politik seperti istilah 'anak haram Amerika Syarikat dan Israel," kata beliau.
Tidak mungkin Kalimullah tidak tahu bahawa orang -orang yang mempertahankan kartun Wiley Miller itu dari segi labelnya adalah "anak haram" kepada pemikiran jahat kartunis itu, kata beliau.
"Lebih dari itu, tidakkah mereka yang menyiarkan kartun itu dan mempertahankannya atas nama kebebasan bersuara adalah ejen Zionis, sama ada melakukannya secara sedar atau tidak?
"Mengenai perkataan Singapura, mungkin mereka yang menulis sepanduk itu hendak menyatakan Pengarang Kumpulan NST, Brendan Pereira diangkut dari Singapura," kata beliau.
Salahuddin juga bertanya, kalau Kalimullah dan NST mempertahankan penyiaran kartun yang mempersendakan Nabi itu atas nama kebebasan bersuara, mengapa tidak melihat cercaan terhadap NST di bawah kekuasaannya sebagai kebebasan bersuara juga?
Beliau menegaskan pihaknya akan terus mencerca sesiapa sahaja yang menghina dan mempersendakan Rasulullah kerana cercaan Allah terhadap Abu Lahab di dalam al-Quran kekal sehingga bila-bila.
"Akhbar yang mempersenda dan menghina Rasulullah dan Islam sudah menjadi ikon persendaan terhadap Rasulullah dan Islam. Kami tidak akan berhenti mencerca ikon kejahatan sedemikian," tegas beliau
sumber dari http://www.harakahdaily.net
0 Comments:
Post a Comment
<< Home