Bekas tahanan Al-Qaeda mahu serang AS
PARIS 28 Feb. - Seorang anggota Al-Qaeda yang terlepas daripada tahanan tentera udara Amerika Syarikat (AS), di Bagram, Afghanistan, Julai lalu, bersumpah akan menyerang rakyat AS walau di mana mereka berada.
Kuwaiti Mehmood Ahmed Mohammed atau lebih dikenali sebagai Omar al- Faruq berkata, kelekaan pengawal di pangkalan tentera udara tersebut yang sedang bermain permainan video membolehkan dia bersama tiga lagi rakannya melepaskan diri.
''Tuhan telah membantu kami melepaskan diri,'' katanya yang memakai jubah putih beserta senjata api menerusi satu rakaman video.
Tiga rakannya yang lain ialah rakyat Libya, Mohammed Hassan, Abdullah Hashimi dari Syria, dan Mohammad al-Qahtani warganegara Arab Saudi.
''Kamu (AS) tidak akan boleh menghentikan perjuangan kami. Kami akan terus memerangi AS di mana-mana, Afghanistan, Iraq dan di seluruh dunia,'' kata Omar di akhir rakaman video itu.
Omar merupakan salah seorang leftenan utama kepada ketua Al-Qaeda, Osama bin Laden. Dia telah ditangkap di Indonesia pada tahun 2002, sebelum diserahkan kepada AS.
Pelepasan empat orang tahanan itu disifatkan AS sebagai satu kejadian yang memalukan kem utamanya yang mempunyai lebih 5,000 tentera.
Satu sumber AS pula memberitahu AFP, pelepasan tahanan-tahanan itu berkemungkinan mendapat bantuan orang dalam berdasarkan penemuan baju tahanan yang ditinggalkan.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home