Pemuda PAS desak gugur modul PLKN
KUALA LUMPUR, 27 Feb (Hrkh) - Pemuda PAS mendesak Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) menggugurkan modul yang digunakan untuk peserta program berkenaan yang didapati secara jelas cuba mendoktrinkan pemikiran peserta.
Naib Ketua Pemuda PAS, Mazlan Aliman, berkata modul berkenaan perlu digugurkan kerana ia jelas digunakan sebagai 'bahan doktrin' kepada para peserta program berkenaan.
Selain menerapkan unsur-unsur yang boleh meracuni pemikiran peserta, ia juga turut memuatkan beberapa gambar pihak tidak bersalah sebagai pengganas dan pengkhianat negara.
Terbaru, Pemuda PAS melalui Mazlan sendiri mendedahkan penggunaan gambar anak Menteri Besar Kelantan, yang juga Mursyidul Am PAS, Nik Adli Nik Abdul Aziz yang digambarkan sebagai seorang pengganas dengan mengaitkan dirinya sebagai ketua Kumpulan Militan Malaysia (KMM) di dalam modul berkenaan.
Menurut Mazlan, modul yang digunakan sejak 2004 juga secara jelas menyentuh beberapa perkara tentang penglibatan anggota KMM, Jemaah Islamiah (JI), Al-Qaeda dan juga reformasi yang disfatkan sebagai pengkhianat negara.
"Kita tidak akan berdiam diri dengan perkara ini kerana mereka yang didakwa kononnya pengganas dan pengkhianat ini tidak pernah dibuktikan bersalah oleh mana-mana mahkamah," tegas beliau kepada wartawan dalam sidang medianya di pejabat Harakah, petang ini.
Sehubungan itu, katanya adalah tidak wajar pihak PLKN menggunakan gambar berkenaan dengan tujuan mempengaruhi dan meracuni pemikiran para peserta program tersebut.
Tambah beliau, 90 peratus isi modul itu ternyata untuk meracuni fikiran peserta dengan kandungan yang bersifat politik untuk mempertahankan Barisan Nasional (BN) dan memupuk rasa benci kepada pihak lain, khususnya pembangkang.
Kata beliau lagi, Pemuda kesal dengan niat sebenar kerajaan di bawah Kementerian Petahanan apabila mewujudkan PLKN yang kononnya untuk menerapkan nilai-nilai cintakan negara.
"Kalau inilah yang cuba didoktrinkan kepada peserta, maka tiada manfaat yang diperoleh dari program ini dan ia hanya membazirkan duit rakyat yang diperuntukkan ke atasnya," kata beliau lagi.
Sebelum ini, Mazlan dan beberapa exco pemuda telah menemui Pengerusi MLKN, Tan Sri Lee Lam Thye berhubung perkara ini dan Lam Thye sendiri kelihatan terkejut dengan pendedahan tersebut.
Dalam pada itu, Pemuda turut menyokong sebarang tindakan yang akan dilakukan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap PLKN sama ada mendesak badan itu supaya memohon maaf atau mengambil tindakan undang-undang sekiranya mereka (PLKN) enggan berbuat demikian.
sumber dari http://www.harakahdaily.net
0 Comments:
Post a Comment
<< Home