Scroll images by bigoo.ws

Wednesday, March 01, 2006

Saddam rayu Syiah tak balas dendam

BAGHDAD: Saddam Hussein semalam menasihatkan rakyat Iraq supaya bersatu dan memuji usaha pemimpin Syiah, Ayatollah Ali Sistani yang kerap menggesa penduduk Syiah tidak bertindak balas terhadap sebarang serangan, kata peguamnya ketika laporan menyatakan, kawasan kubur bapanya dibom.
Saddam yang dibicarakan atas tuduhan jenayah kemanusiaan, menggesa perpaduan oleh semua lapisan masyarakat bagi menghentikan mereka yang mencetuskan fitnah dan perpecahan, kata peguamnya, Khalil al-Dulaimi, semalam.
Kenyataan itu dibuat seminggu selepas 120 orang terbunuh dalam perbalahan antara mazhab dan dianggap keganasan antara fahaman agama paling buruk di Iraq.Saddam turut memuji Ali Sistani terhadap usahanya mencegah sengketa antara fahaman agama.
Sebelum ini pemimpin Syiah itu menggesa supaya keamanan segera dikembalikan dan meminta penduduk Syiah tidak menyerang pengikut Sunnah selepas serangan bom Rabu minggu lalu di makam dan Masjid Samarra di utara Baghdad.Sementara itu, di Tikrit, serangan bom memusnahkan sebuah masjid kecil yang dibina Saddam berhampiran dengan kubur bapanya, kata polis dan pegawai tempatan.
Pegawai itu mengesahkan laporan sebelum ini dan berkata, bom diletakkan di makam itu pada subuh.Serangan bom itu berlaku beberapa jam sebelum Saddam dijadual hadir di mahkamah ketika perbicaraan ke atasnya disambung. Dalam perkembangan berkaitan, peguam Saddam menamatkan pemulauan selama sebulan terhadap perbicaraan bekas presiden itu apabila hadir di mahkamah semalam meskipun ketua hakim menolak tuntutan mereka supaya meletak jawatan.
Penyertaan kembali mereka kelihatan terpaksa akur dengan pendekatan keras yang diambil Ketua Hakim Raouf Abdel-Rahman sejak beliau mengambil alih tribunal itu awal bulan lalu dengan meneruskan perbicaraan meskipun peguam bela termasuk tertuduh tidak hadir.Perbicaraan semalam dianggap yang paling sempurna sejak sidang itu bermula pada Oktober lalu. Saddam dan tujuh tertuduh lain memasuki mahkamah dan pergi mengambil tempat mereka dengan tenang.
Sebelum ini, Saddam dan adik tirinya, Barzan Ibrahim melaungkan pelbagai slogan mengutuk perbicaraan berkenaan serta bertekak dengan hakim hampir setiap hari sebaik saja perbicaraan hendak dimulakan
sumber dari http://www.bharian.com.my ( Rabu / 1 March 2006 )

0 Comments:

Post a Comment

<< Home