Scroll images by bigoo.ws

Wednesday, March 01, 2006

Amerika cetus keganasan jajah Iraq

LONDON: Majoriti penduduk dunia percaya kempen ketenteraan dan pencerobohan Amerika Syarikat (AS) di Iraq adalah punca peningkatan ancaman keganasan.

Hasil tinjauan oleh firma kaji selidik Kanada GlobeScan dan Program Pandangan Terhadap Dasar Antarabangsa AS (PIPA) bagi pihak radio Perkhidmatan Dunia Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) semalam menunjukkan, pendapat itu dikongsi sebahagian besar rakyat di 33 dari 35 negara yang terbabit dalam kajian berkenaan.

China muncul negara paling ramai berpendapat sedemikian iaitu 85 peratus diikuti Korea Selatan (84 peratus) dan Mesir, 83 peratus.

Di Britain, 77 peratus responden menganggap ancaman pengganas meningkat selepas kempen ketenteraan AS, diikuti 55 peratus responden warga AS sendiri dan 75 peratus di Iraq.

Malah, responden di 20 negara turut menyokong penuh cadangan supaya tentera AS berundur dari Iraq dalam beberapa bulan akan datang.

Sebanyak 60 peratus penduduk di 33 negara bersetuju yang pencerobohan tentera AS ke atas bumi Iraq pada Mac 2003 adalah punca berleluasanya ancaman keganasan berbanding hanya 12 peratus yang menganggap sebaliknya.

Seramai 15 peratus lain pula menganggap kempen ketenteraan itu tidak memberikan sebarang kesan.

Tinjauan membabitkan 41,856 responden itu bagaimanapun menunjukkan rakyat di 21 daripada 34 negara, pula mahukan tentera AS berada di negara Teluk itu sehingga keadaan stabil.
Pengarah PIPA, Steven Kull berkata, biarpun pentadbiran Presiden George W Bush menegaskan tindakan menceroboh Iraq sebagai cara untuk memerangi keganasan, ramai penduduk dunia melihat sebaliknya.

"Mereka menganggap tindakan Bush dan tenteranya hanya memungkinkan lebih banyak serangan ganas. Pendapat itu yang dipersetujui majoriti penduduk, memang mengejutkan," katanya.

Pendapat lain responden termasuk penduduk di 21 negara menganggap penyingkiran bekas presiden Saddam Hussein adalah satu kesilapan besar yang mana 45 peratus menentang dan 36 peratus menyokong tindakan itu.

Kecaman atau pengkritik utama tindak tanduk AS itu datangnya dari Argentina iaitu 74 peratus diikuti Sepanyol (65 peratus) dan Jerman(61 peratus).

Di Britain, rakan sekutu utama AS yang turut menempatkan 8,000 askarnya di selatan Iraq, sebanyak 40 peratus responden menganggap tindakan menyingkirkan Saddam satu kesilapan.
Malah 32 peratus warga AS turut berpendapat sedemikian manakala 23 peratus lain datangnya dari Iraq.

Sokongan penyingkiran Saddam datangnya daripada responden Iraq sendiri iaitu 74 peratus, Brazil dan Poland (65 peratus), AS (60peratus) dan Britain (49 peratus).

Negara yang terbabit dalam tinjauan itu adalah Afghanistan, Argentina, Australia, Brazil; Britain, Kanada, Chile, China, Republik Demokratik Congo, Mesir, Finland, Perancis, Jerman, Russia, Arab Saudi, India, Indonesia, Iran, Iraq, Itali, Kenya, Mexico, Nigeria, Filipina, Poland, Senegal, Afrika Selatan, Korea Selatan, Sri Lanka, Tanzania, Turki, AS dan Zimbabwe

1 Comments:

Anonymous Anonymous said...

Your blog keeps getting better and better! Your older articles are not as good as newer ones you have a lot more creativity and originality now keep it up!

12:48 PM  

Post a Comment

<< Home