Scroll images by bigoo.ws

Wednesday, March 01, 2006

Minyak naik bukti kewangan negara di tahap kritikal

KOTA BHARU, 28 Feb (Hrkh) - Kenaikan harga minyak sehingga 30 sen hari ini secara jelas membuktikan kewangan negara di bawah pemerintahan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berada di tahap yang kritikal.

Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim berkata, kelemahan pemimpin utama mengurus tadbir negara menyebabkan harga minyak naik lebih tiga kali dalam tempoh dua tahun pemerintahannya.

"Kalau sebelum ini harga minyak hanya naik lima sen atau 10 sen sahaja, bagaimanapun hari ini kita dikejutkan kenaikan sehingga 30 sen. Ini adalah sesuatu yang amat luar biasa.

"Biar pun kerajaan cuba membanding dengan harga minyak semasa di negara-negara Asean lain, namun ia sukar diterima kerana Malaysia juga merupakan negara pengeluar minyak seperti Brunei," katanya selepas membuat laporan polis terhadap NST di Balai Polis Daerah Kota Bharu, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Bendahari Kelab Penyokong Kerajaan Negeri berkata, kenaikan itu pasti amat mendukacitakan seluruh rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah.Menurutnya, kenaikan harga barangan keperluan harian tentunya tidak dielak lagi kerana peniaga akan meletakkan kos kenaikan pengangkutan kepada pengguna.

"Walaupun Perdana Menteri pernah berjanji dalam terdekat ini harga minyak tidak ada kenaikan, itu hanya janji politik untuk menyenangkan hati rakyat. Dan dalam tempoh lapan bulan ini mungkin akan naik lagi.

"Jadi, nasihat saya untuk rakyat, kena ambil satu tindakan yang tepat iaitu dalam pilihan raya akan datang usah lagi memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) kerana parti itu terbukti tidak mampu mengurus kebajikan rakyat," ujarnya.

Akhbar melaporkan kerajaan mengumumkan kenaikan harga runcit minyak petrol dan diesel sebanyak 30 sen seliter serta harga runcit gas petroleum cecair (LPG) sebanyak 30 sen sekilogram berkuat kuasa hari ini.

Harga runcit baru petrol premium RON97 di Semenanjung Malaysia naik kepada RM1.92 seliter, petrol ROM92 (RM1.88 seliter), diesel (RM1.581 seliter) dan LPG (RM1.75 sekilogram).

0 Comments:

Post a Comment

<< Home