Fatah tolak pelawaan Hamas
RAMALLAH 5 Mac - Ahli Parlimen Palestin daripada Parti Fatah pimpinan Presiden Mahmoud Abbas mengambil keputusan semalam untuk menolak pelawaan Hamas bagi menyertai kerajaan campuran yang diterajui oleh pergerakan itu.
Hamas yang memenangi pilihan raya Parlimen pada 25 Januari lalu telah diminta oleh Mahmoud supaya membentuk sebuah kerajaan selewat-lewatnya akhir bulan ini.
Ahli Parlimen Fatah bermesyuarat semalam untuk membincangkan pelawaan Hamas itu dan kemudian mengemukakan syor kepada majlis revolusi parti 'supaya memutuskan untuk tidak menyertai kerajaan', kata pegawai Fatah.
Majlis revolusi Fatah terdiri daripada 134 anggota dijangka meluluskan syor tersebut seawal hari ini. Ia mungkin merumitkan lagi usaha Hamas untuk mencapai matlamat membentuk sebuah Kabinet yang mendapat sokongan meluas.
Antara tiga sebab yang disebut oleh Fatah di sebalik keputusannya ialah keengganan Hamas untuk mengiktiraf perjanjian damai yang lalu dengan Israel.
Ahli Parlimen Fatah juga berkata, parti tersebut memerlukan masa untuk bangkit semula berikutan kekalahannya dalam pilihan raya lalu.
Pegawai Hamas yang melawat Moscow berkata, sungguhpun mereka lebih suka berkongsi kuasa dengan Fatah, Hamas masih mampu membentuk kerajaan dengan 74 kerusinya di dewan 132 anggota berserta sokongan empat ahli Parlimen bebas.
Calon Hamas yang dilantik sebagai Perdana Menteri baru, Ismail Haniyeh berkata, beliau masih berharap Fatah akan menyertai kerajaannya untuk mengukuhkan perkongsian politik.
''Saya percaya perkongsian Fatah dengan kami adalah untuk kepentingan Fatah sendiri,'' kata pemimpin politik Hamas, Khaled Meshaal.
Seorang lagi pegawai Hamas berkata, Hamas akan meminta sokongan parti-parti kecil jika Fatah tidak mahu menyertai kerajaan.
sumber dari http://www.utusan.com.my ( Isnin / 6 Mac 2006 )
0 Comments:
Post a Comment
<< Home