Scroll images by bigoo.ws

Wednesday, March 15, 2006

Israel kepung penjara Palestin tuntut militan

JERICHO, Tebing Barat 14 Mac - Tentera Israel hari ini mengepung penjara Palestin di sini dalam usaha menangkap ketua kumpulan militan yang dipenjara yang didakwa membunuh menteri Israel lima tahun lalu.

Perkembangan terbaru ini dijangka mencetuskan konflik baru di rantau Asia Barat.
Seorang pengawal dan tahanan penjara mati dalam pertempuran di pekarangan penjara ketika tentera Israel mengempur.

Lebih setengah dozen warga asing pula dijadikan tebusan oleh pejuang Palestin sebagai tindak balas ke atas Israel.

Saksi berkata, mereka terdengar bunyi tembakan dan letupan berhampiran penjara, tempat ketua Popular Front Liberation Palestin (PFLP), Ahmed Saadat di penjara yang diawasi oleh pemerhati Amerika Syarikat (AS) dan Britain.

Saksi kemudian melaporkan, kesemua pemerhati itu beredar, namun tidak dapat dipastikan bila.

Menggunakan pembesar suara, tentera Israel memanggil Ahmed dan beberapa ahli kumpulan militan yang lain supaya menyerah diri.

''AS dan Britain bertanggungjawab atas keselamatan Ahmed Saadat. Pengunduran mereka bertentangan dengan perjanjian yang telah ditandatangani dengan Palestin,'' kata pembantu Presiden Mahmoud Abbas, Ahmed Abdel Rahman.

Ahmed mula ditahan di penjara Tebing Barat sejak tahun 2002 bersama pengikutnya yang lain di bawah pemerhatian antara bangsa.

Dalam temu bual dengan stesen Al-Jazeera dari penjara, Ahmed berkata, beliau tidak akan menyerah diri kepada Israel.

''Mereka perlu datang, mungkin boleh mengambil kami hidup ataupun mati. Kami tidak akan menyerah diri,'' katanya menerusi perbualan telefon.

Israel mendakwa, Ahmed telah mengarahkan pembunuhan Menteri Pelancongannya, Rehavam Zeevi pada tahun 2001.

PFLP yang mengakui dakwaan itu berkata, pembunuhan itu adalah satu tindakan menuntut bela atas pembunuhan salah seorang daripada ketua mereka.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home