Scroll images by bigoo.ws

Tuesday, March 14, 2006

Notis serahan petisyen Pengkalan Pasir ikut peraturan

KOTA BHARU, 13 Mac (Hrkh) – Peguam pempetisyen hari ini menolak hujah pihak responden pertama, Haji Hanafi Mamat yang menganggap penyampaian notis petisyen bagi pilihan raya kecil DUN Pengkalan Pasir tidak mengikut peraturan. Haji Mohd Ariff Yusof berkata, notis penyampaian petisyen itu dibuat mengikut peraturan ditetapkan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berdasarkan kepada Kaedah 15 Ceraian 1A, Kaedah 15 (1B) dan 15 (1C).
Mengikut Perkara 15 (1A) serahan satu salinan notis hendaklah dibuat dalam tempoh 15 hari selepas petisyen difailkan. Perkara 15 (1B) menjelaskan notis dihantar dengan pos berbayar kepada alamat responden pertama. Dan Perkara 15 (1C) pula berkaitan penampalan di papan notis mahkamah atau pemberitahuan melalui akhbar utama di negara ini.
Menurutnya, Perkara 15 (1A) dan Perkara 15 (1B) tidak mempunyai perkataan atau bagi memisahkan di antara keduanya, manakala Perkara 15 (1C) pula dipisahkan dengan perkataan atau. “Ini secara tidak langsung menggambarkan Perkara 15 (1A), (1B) dan (1C) boleh ditafsirkan dipisahkan dengan atau di antara satu sama lain, atau juga bermaksud (1A) dan (1B) dipisahkan perkataan atau dengan (1C).

“Ini bermaksud (1C) boleh berdiri sendiri. Dan pempetisyen sudah memenuhi Perkara (1A) dan (1B) selaras dengan akta ditetapkan. Dengan ini hujah responden pertama yang mengatakan notis petisyen dibuat tidak mengikut peraturan adalah mengelirukan,” katanya.

Bagaimanapun Tan Sri Zaki Azmi mewakili responden pertama berhujah pihak pempetisyen perlu mematuhi setiap Ceraian dalam Kaedah 15, Akta Kesalahan Pilihan Raya. Kes itu didengar di depan Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Dato’ Hasan Lah di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.
Mohd Arif turut dibantu peguam Hanifa Maidin, Nasrul Mohamad, Ahmad Najib Deris, Hisyam Fauzi dan Fariz Izwan Mustafa, manakala responden pertama diwakili Zaki, Mohd Hafarizam Harun, Norah Abu Bakar dan Azmi Abdullah.

Manakala Peguam Kanan Persekutuan, Azizah Nawawi, Suzana Atan dan Siti Salwa Musa mewakili responden kedua dan ketiga iaitu pegawai pengurus pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Petisyen tersebut difailkan Mohd Ridza Zain pada 4 Januari lalu bagi mencabar keputusan pilihan raya kecil DUN Pengkalan Pasir, 6 Disember tahun lalu ekoran wujud dakwaan beberapa penyelewengan.

Antaranya, perbuatan rasuah, penjamuan, penyamaran, kesalahan mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan, perlanggaran undang-undang pilihan raya dan bertentangan dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

Petisyen PAS setebal 22 muka surat itu menyatakan beberapa perlanggaran dilakukan responden di bawah Akta Kesalahan Pilihan raya 1954.

Ekoran itu pada 26 Januari Barisan Nasional Kelantan mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi membatalkan petisyen yang dikemukakan PAS, antara alasannya kegagalan pempetisyen menyatakan secara terperinci mengenai tarikh, waktu dan tempat berlakunya penyogokan pada pilihan raya berkenaan.

Zaki sebelum itu juga menganggap fakta utama kes yang dibuat pempetisyen adalah tidak lengkap kerana tidak mempunyai nama tempat, tarikh dan masa secara jelas.

Hujah bertulis yang diulangi pada perbicaraan hari ini dibentangkan peguam terbabit bermula jam 9.15 hingga 11.40 pagi tadi. Mohd Ariff juga berhujah notis petisyen yang dikemukakan juga diterima pihak responden dan ditandatangani pada notis serahannya.

Perbicaraan itu bersambung jam petang ini. Hadir sama mengikuti kes tersebut Naib Presiden PAS, Haji Husam Musa, Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Mustafa Ali, calon Pengkalan Pasir Pasir, Haji Hanifa Ahmad dan Ridza yang juga Setiausaha Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Bagaimanapun Hanapi kelihatan keseorangan ketika berada di mahkamah. Mengikut peraturannya kes petisyen itu perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tarikh petisyen difailkan.

Pada pilihan raya kecil 6 Disember lalu, calon BN mengatasi calon PAS dan Bebas, Dato’ Paduka Ibrahim Ali dengan kelebihan 134 undi.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home