Scroll images by bigoo.ws

Monday, March 13, 2006

Jangan ambil tindakan jahil - Teheran

TEHERAN 10 Mac - Ulama kanan Iran memberi amaran kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya tidak memperlihatkan ''kebodohan dan kejahilan'' dengan mengugut Teheran berhubung program nuklear yang kini berubah menjadi kontroversi global.

''Saya memberitahu Majlis Keselamatan jangan guna bahasa mengugut negara Iran,'' kata ulama Ahmad Khatami dalam khutbah Jumaat di sini, hari ini.

''Majlis Keselamatan seharusnya mengetahui bahawa jika mereka hendak melayan seperti agensi itu (Agensi Tenaga Atom Antarabangsa), Iran akan memberi respons dengan cara seperti kepada agensi itu,'' kata beliau.

Majlis Keselamatan dijadual bermesyuarat hari ini bagi membincangkan isu nuklear Iran hari ini meskipun keputusan menyeluruh dijangka diambil minggu depan.

Dalam pada itu, buat pertama kali, Ketua Dasar Kesatuan Eropah (EU), Javier Solana mendedahkan prospek mengenakan sekatan ke atas Iran.

Dalam temu bual dengan akhbar Austria, Der Standard, Solana tidak menolak dikenakan sekatan jika Teheran enggan mematuhi kehendak dunia.

Laporan AFP dari Washington menyebut, Amerika Syarikat (AS) akan meminta Majlis Keselamatan mengeluarkan kenyataan tegas terhadap program nuklear Iran.

White House menyuarakan hasrat itu semalam ketika Setiausaha Negara, Condoleezza Rice menyifatkan Iran sebagai cabaran terbesar Washington.

AS tidak ada rancangan untuk menyerang Iran, kata Setiausaha Pertahanan, Donald Rumsfeld tetapi beliau memberi amaran askar AS akan bertindak untuk menghalang tentera Iran daripada menyusup masuk ke Iraq.

Ketika ketegangan berhubung konfrontasi nuklear itu semakin meningkat, jurucakap White House, Scott McClellan berkata, AS masih mahu menyelesaikan isu tersebut secara diplomatik.
Washington mendakwa program tenaga nuklear Iran menyembunyikan kegiatan untuk membina senjata atom.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home