Pelbagai pihak kesal tindakan FRU ke atas rapat umum rakyat
KUALA LUMPUR, 10 Mac (Hrkh) - Pelbagai pihak kesal dengan tindakan Unit Polis Simpanan Persekutuan (FRU) menyurai satu rapat umum rakyat membantah kenaikan harga minyak di sini apabila menyembur mereka dengan air bercampur asid.
Mereka kecewa kerana pihak polis tidak mempedulikan rayuan pemimpin penunjuk perasaan yang mahu diadakan rundingan antara kedua-dua pihak.
Sebelum itu, tokoh KeADILan yang juga seorang peguam, Zulkifli Nordin kelihatan cuba mengadakan perbincangan dengan pihak FRU di hadapan Hotel Renaissance di sini petang ini bagi mengelakkan pasukan itu bertindak keras ke atas penunjuk perasaan yang meneruskan demonstrasi di hadapan hotel berkenaan.
Perbincangan itu berlangsung dua minit setelah pihak FRU mengarahkan penunjuk perasaan bersurai tetapi arahan itu tidak diendahkan.
Zulkifli kelihatan mengadakan perbincangan dengan wakil FRU dan meminta penunjuk perasaan bersurai dan menuju ke Hotel Concorde.
Sementara itu, Timbalan Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Md Akin percaya pihak polis sedikit keliru kerana membuat serangan terhadap penunjuk perasaan dari arah belakang.
Beliau mendakwa arahan bercelaru di peringkat polis dan ada sebilangan kecil anggota polis kelihatan mempunyai simpati pada gerakan rakyat kali ini.
Menurut beliau, berdasarkan keadaan hari ini pihak polis berupaya menahan dan membuat tangkapan tetapi nampaknya mereka tidak berbuat demikian.
"Saya ucapkan terima kasih di atas simpati mereka kerana jelas warga polis juga tertekan dalam hal ini. Saya bersyukur kerana tiada ditangkap manakala pembantah cuma kena semburan air berasid," katanya.
"Kita akan terus adakan beberapa siri protes yang turut diadakan secara serentak di bandar-bandar besar lain," katanya di hadapan Hotel Renaissance.
Perhimpunan kali ini turut menyaksikan dua tokoh wanita berucap. Mereka ialah Ketua Penerangan Muslimat PAS, Dr Mariah Mahmood dan wakil Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit), S Kohila.
Kohila berkata, kenaikan harga minyak memang tidak wajar kerana Malaysia negara pengeluar minyak.
Adalah menjadi hak rakyat untuk membantah kenaikan harga minyak yang tidak terlalu tinggi itu, katanya.
Menurut beliau, kesan kenaikan harga minyak itu turut dirasai oleh suri rumah yang ternyata sudah terbeban akibat kenaikan harga bahan bakar.
Katanya, disebabkan kos pengangkutan meningkat, harga barang-barang turut naik dan ini menjejaskan kehidupan keluarga.
Wakil KeADILan, Badrul Hisham Saharin juga terkilan dengan serangan menggunakan meriam air oleh pasukan FRU.
Beliau berkata, pada minggu sebelum ini, rakyat telah buktikan rapat umum itu dapat dijalankan secara aman, oleh itu tidak wajar untuk anggota FRU bertindak kasar.
"Kalau rakyat nak berhimpun, kita kena ikut kehendak rakyat," katanya.
sumber dari http://www.harakahdaily.net
0 Comments:
Post a Comment
<< Home