PAS bimbang langkah terbaru SPR sempitkan ruang demokrasi
KUALA LUMPUR, 9 Mac (Hrkh) - Cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melarang penggunaan poster dalam pilihan raya umum diterima berhati-hati oleh pemimpin PAS yang bimbang ia hanya cubaan untuk menyempitkan ruang demokrasi.
Pengarah Pilihan Raya PAS, Dato' Mustaffa Ali, berkata PAS menyambut baik saranan berkenaan walaupun menyedari segala cadangan atau peraturan yang dipinda SPR biasanya tidak dipatuhi oleh parti pemerintah, Barisan Nasional (BN).
Katanya walaupun saranan itu tidak cukup jelas, sama ada tidak membenarkan sama sekali penggunaan poster atau dihadkan jumlahnya, PAS bersedia mematuhi apa saja peraturan SPR.
Mustaffa turut bersetuju dengan cadangan SPR untuk mengira semula undi jika perbezaan undi antara calon kurang daripada empat peratus berbanding dua peratus sebelum ini.
Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa, menolak cadangan berkenaan yang dilihat sebagai sekatan kepada parti pembangkang.
"Parti pembangkang tidak mendapat tempat di media massa seperti BN. Apa lagi yang akan tinggal pada pembangkang jika poster juga tidak dibenarkan? Pembangkang sendiri memang tidak mempunyai poster yang banyak seperti BN," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily.
Tambahnya, tidak mustahil selepas ini SPR akan mencadangkan untuk mengharamkan ceramah bagi terus menyekat kempen parti pembangkang.
Oleh itu katanya, cadangan SPR ini lebih kepada menyempitkan sistem demokrasi di negara ini yang sememangnya sudah tidak dijamin lagi.
sumber dari http://www.harakahdaily.net
0 Comments:
Post a Comment
<< Home