Scroll images by bigoo.ws

Monday, March 13, 2006

Mengimbau kembali nostalgia Forum Perdana

Alhamdulillah, berjaya juga saya hadiri forum perdana semalam yang dilakukan pada hari yang sama dengan demonstrasi ke-2 yang diadakan di KLCC. Namun kali ini saya bergerak secara solo sahaja dari kampus ke forum perdana berkenaan, tidak seperti biasa memandangkan pihak pendokong gerakan Islam di kampus ini juga mempunyai agenda sendiri pada malam ini. Demi menangkis 'hiburan songsang' yang dijanakan oleh konco-konco aspirasi. Tidak mengapalah samaada bergerak secara solo atau tidak kerana saya lebih suka bergerak secara sendirian daripada satu gerombolan kerana itu lebih licin pergerakannya daripada satu ketumbukan apabila membicarakan tentang pergerakan secara 'gerila'!
Setelah tiba di Dataran Purnama tepat-tepat pukul 9.30 malam, saya terus 'menyusup' masuk mencari 'pengkalan' yang strategik untuk menunggu ketibaan Ustaz Nasha, Dr Hatta dan Dr Hassan Ali. Seperti yang saya sangkakan, Ustaz Nasha tiba agak lewat malam semalam memandangkan Ustaz Nasha juga mengepalai demonstrasi di KLCC pada hari yang sama. Pasti ia amat memenatkan untuk sampai ke pekan Parit Buntar pula!
Namun penantian itu terubat juga setelah Dr Hassan Ali sampai, beberapa ketika selepas itu Dr Hatta pula yang sampai. Sementara itu pihak tuan rumah perlulah bijak menguasai suasana penantian ustaz Nasha dengan aktiviti yang tidak menjemukan. Disinilah saya dapat mendengar serba sedikit info dari pengacara malam semalam tentang isu semasa,ini termasuklah tentang pemboikotan barangan denmark dan isu kenaikan harga minyak.
Sambil saya membelek-belek warkah Bicara Minda yang diterbitkan oleh DP PAS Perak, maka tibalah Ustaz Nasha. Ternyata penantian itu berbaloi.
Rasanya inilah forum perdana yang agak 'nostalgic' bagi saya kerana Dr, Hassan Ali menjadi pengerusi pada forum itu, secara tidak langsung pengalaman Dr Hassan Ali yang pernah menjadi pengerusi Forum Perdana Hal Ehwal Islam suatu ketika dulu di 'rewind'kan kembali.
Bagi saya Dr Hatta berjaya berdiskusi sebagai minda rakyat jelata dalam menyelami masalah rakyat, manakala Ustaz Nasha berdiskusi yang selayak dengan jawatannya selaku Timbalan Presiden PAS malah bagi 'orang yang tahu' seperti warga pegawai kerajaan mahupun warga kampus dapat bergerak seiring dengan isi yang cuba dikupas oleh Ustaz Nasha.
Terdapat banyak informasi yang disampaikan oleh kedua-dua ahli panel. Namun saya kira baiklah saya catitkan isu yang sempat saya 'rakam' dalam minda saya.
Isu Dikupas Oleh Dr Hatta
Selaku kelahiran Setiawan Perak, beliau berjaya membawa pemikiran tentang kenaikan harga minyak dengan aktif sekali. Contohnya kenaikan barangan seperti roti canai, teh tarik. Jika Pak Lah marah-marah kepada peniaga kerana naikkan harga roti canai, Dr Hatta cuba menyelami pemikiran peniaga.
Antara hujah Dr Hatta,
"Kalau kita buat roti canai, takkan kita uli-uli roti lepas itu terus boleh makan ? Pasti kita masak dahulu di dapur menggunakan gas memasak. Sedangkan gas memasak juga turut mengalami kenaikan." Isu lain yang turut diperbincangkan adalah mengenai isu bertudung Habsah Jaafar,Pengarah Akaun di Hotel Renaissance yang bertegas untuk bertudung setelah beliau pulang dari Mekah.
Malah paparan lakaran kartun penghinaan nabi kita turut disentuh oleh Dr Hatta. Ini bagi membuktikan selaku pengerusi OIC, Pak Lah gagal memainkan peranan untuk mendaulatkan islam di negara-negara islam.
Tembelang UMNO terhadap Islam adalah semata-mata untuk melawan PAS sahaja turut di bentangkan oleh Dr Hatta. Namun disini Dr Hatta tidak menyebut nama menteri yang mengaku sikap parti UMNO terhadap Islam semata-mata untuk 'counter' PAS semata-mata, yang mana selepas itu Ustaz Nasha menyebut menteri berkenaan adalah Nazri Aziz.
Isu Dikupas Ustaz Nasha
Sewaktu forumini berlangsung, saya sangkakan Ustaz Nasha akan menggunakan 'gear rendah' untuk berhujah pada malam semalam, memandangkan beliau baru sahaja sampai dari KL. Tetapi ternyata sangkaan saya meleset, Ustaz Nasha masih bertenaga untuk berhujah dengan baik sekali,mungkin kerana kudratnya masih lagi muda dan bertenaga.
Ternyata input-input yang dibawa oleh Ustaz Nasha lebih menampakkan pemikiran selaku golongan terpelajar namun masih mampu menterjemahkan kepada pemikiran biasa untuk rakyat biasa.
Antara informasi yang agak tertarik untuk saya ketengahkan disini adalah tentang 'surat layang' yang 'berterbangan' dikalangan pemmpin atasan UMNO agar Pak Lah 'resign' dari jawatan tertinggi hierarki kepimpinan negara sekarang ini.
Selain itu, keuntungan Petronas yang agak mewah mutakhir ini agak memusykilkan beliau kerana dalam keadaan rakyat yang terseksa dengan kesan kenaikan harga minyak.pihak Petronas masih lagi mampu membuat iklan (Iklan yang budak melayu cakap Swiss dan budak Swiss cakap melayu....) yang menelan belanja RM 90 juta. Selain daripada akaun Petronas yang tidak didedahkan kepada rakyat marhaen. Slogan "Protes Sampai Turun" yang digunapakai pada demo kali ini turut disebut oleh Ustaz Nasha. Ujarnya, "Tidak kisahlah siapa yang turun, minyak yang turun ke...Pak Lah yang turun ke....atau BN yang turun ke..."
Ternyata kedua-dua ahli panel berjaya mengupas isu semasa dengan baik walaupun masih keletihan akibat daripada demonstrasi yang agak kelam-kabut di KLCC pada kali ini.
"Semoga Forum Perdana sebegini boleh dibuat lagi...."

0 Comments:

Post a Comment

<< Home