Scroll images by bigoo.ws

Tuesday, February 28, 2006

PAS puji pengarah rela disingkir daripada tanggal tudung

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Hrkh) – PAS hari ini memuji tindakan berani pengarah akaun sebuah hotel terkemuka di ibu negara, Habsah Jaafar, yang melepaskan jawatannya kerana tidak dibenarkan bertudung semasa bertugas.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, berkata pujian itu diberi kerana pekerja tersebut mengambil satu sikap cukup berani berdasarkan iman sebagaimana ditetapkan syarak.

“Jelas sekali beliau tidak menggadai prinsip yang telah ditetapkan oleh syarak biarpun terpaksa meletakkan jawatan yang agak tinggi dalam perkhidmatan di hotel tersebut,” katanya semasa ditemui di ibu pejabat Harakah, di sini hari ini.

Beliau berkata PAS akan menghantar sepucuk surat penghargaan rasmi kepada Habsah.

Surat itu akan ditandatangani Setiausaha Agung PAS, Dato’ Kamaruddin Jaffar.

Menurut Ustaz Nasharuddin, tindakan pengurusan hotel tersebut amat dikesali kerana tidak menunjukkan sikap prihatinnya dan paling utama ia tidak menghormati Islam sebagai agama rasmi.

Semalam, Habsah, 46, mendakwa beliau kecewa apabila terpaksa melepaskan jawatan yang dipegangnya sejak lebih 10 tahun lalu semata-mata kerana tidak mahu menanggalkan tudungnya.

Habsah dipetik oleh media hari ini sebagai berkata beliau terpaksa berbuat demikian setelah diberi kata dua oleh pengurusan hotel terbabit sama ada mematuhi peraturan yang melarang pemakaian tudung ketika bekerja atau melepaskan jawatannya dan pada 17 Februari lalu beliau berhenti.

Dalam pada itu, Ustaz Nasharudin juga meminta kerajaan dan agensi berkaitan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan hotel tersebut.

“PAS akan membuat satu protes secara terbuka dalam tempoh terdekat ini sekiranya tidak ada sebarang kenyataan daripada pengurusan hotel berkenaan untuk meminta maaf,” katanya.

Menurutnya jika tidak ada sebarang tidakan susulan dibuat ia adalah satu penghinaan cukup dahsyat kepada Islam.

Isu seperti ini katanya, merupakan rangkaian daripada kebencian kepada pelbagai organisasi Islam dan tegasnya PAS tidak akan berdiam diri.

“Satu demi satu penghinaan dibuat kepada Islam dan umatnya dan PAS amat bertolak ansur dengan semua itu tetapi apabila toleransi itu diambil kesempatan oleh mana-mana pihak untuk menghina peraturan syarak, kita akan bertindak," katanya.

Menurutnya pendedahan Habsah, semalam membuktikan penghinaan itu bukan perkara baru di negara ini.

“Pendedahan itu menggambarkan beliau telah lama ‘menderita’ untuk mempertahankan syariat Islam, malah kita mendapat maklumat bahawa banyak majikan mendiskriminasi perkerja,” katanya

0 Comments:

Post a Comment

<< Home