Lebih 2,000 demo bantah kenaikan harga minyak di KLCC
KUALA LUMPUR, 3 Mac (Hrkh) - Lebih 2,000 rakyat negara ini membanjiri Dataran KLCC mulai jam 2 petang tadi iaitu sebaik sahaja selesai Solat Jumaat bagi membantah kenaikan harga minyak sebanyak 18% atau 30 sen bagi setiap liter.
Perhimpunan bermula sebaik sahaja selesai Solat Jumaat di Masjid KLCC dengan bantahan terhadap kartun yang menghina Rasulullah oleh akhbar Denmark yang dianjurkan oleh PAS. Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa telah berucap di majlis itu.
Perhimpunan ini dibuat serentak di seluruh dunia hasil keputusan yang dibuat oleh Gerakan Islam seluruh dunia mengenainya.
Mereka kemudiannya berarak ke KLCC bagi menyertai pihak lain yang berhimpun bagi membantah kenaikan harga minyak.
Yang kelihatan hadir di demonstrasi yang disertai oleh pelbagai pihak itu adalah Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, Naib Presiden Haji Mohamad Sabu, Ahli MKT Parti Keadilan Eakyat (PKR), Dr Badrulamin Baharom dan juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) DAP, Ronnie Liu.
Turut serta pemimpin dari PSM dan juga Suaram.
Mereka diberikan kerjasama baik oleh polis walaupun lebih 10 trak polis berada di persekitaran bangunan dan taman KLCC itu.
Perarakan mereka bermula di perkarangan Masjid KLCC, masuk ke Jalan Tun Razak dan berarak balik masuk ke bangunan KLCC dan berakhir di Hotel Concord.
Orang ramai yang berarak ke KLCCMereka berteriak agar kerajaan menarik balik kenaikan harga minyak yang tidak munasabah itu.
"Cemerlang, Gemilang dan Temberang", "Dulu, Kini dan Selamanya harga minyak naik" , "Kaji Semula Harga Petrol" adalah antara sepanduk dan kain rentang yang dibawa sepanjang demo itu.
Dataran KLCC dipilih kerana disitulah terletaknya pejabat Petronas, syarikat minyak milik negara yang sepatutnya memberikan sedikit dari keuntungannya yang berpuluh bilion itu untuk mengekang kenaikan harga minyak.
Bantahan itu dianjurkan bersama oleh PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Suaram dan juga Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Di Kota Bharu, orang ramai berhimpun di perkarangan Masjid Muhammadi dekat sini sebaik sahaja selesai Solat Jumaat bagi membuat bantahan serupa.
Perhimpunan itu menjadi dua tujuan apabila secara serentak mereka membantah penghinaan terhadap Rasululullah melalui kartun oleh akhbar Denmark dan juga membantah kenaikan harga minyak.
Slogan dan sepanduk dinaikkan bagi menunjukkan bantahan mereka.
Kenaikan terbesar
Kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen adalah sejarah buat negara kerana ia kenaikan terbesar dalam sejarah.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dalam wawancara yang disiarkan secara langsung oleh RTM dan TV3, kenaikan minyak kali ini hanya sekali ini sahaja untuk sepanjang tahun ini dan tidak akan berulang lagi.
Namun, bukan sahaja parti pembangkang dan rakyat biasa sahaja yang marah, bahkan anggota Parlimen Umno dari Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah juga membantahnya.
"Kerajaan sepatutnya mencari cara lain untuk menyelesaikan masalah kenaikan harga minyak dunia itu bukannya dengan membebankan rakyat melalui cara ini," kata bekas Menteri Kewangan dan bekas Presiden Petronas itu dalam wawancara khas dengan sebuah akhbar politik, Siasah.
Bagi beliau, kerajaan juga tidak dapat pastikan apa akan berlaku di masa depan sehingga memberi jaminan kenaikan ini akan hanya berlaku sekali sahaja dalam tahun ini.
Langkah menaikkan harga minyak dengan begitu tinggi juga dianggap sebagai antara sebab populariti Dato' Seri abdullah sebagai Perdana Menteri paling rendah di samping isu rombakan Kabinet dan NST.
Kenaikan harga minyak kali ini juga dianggap persekongkolan antara Perdana Menteri, timbalannya dan Penasihat Petronas, Tun Dr Mahathir kerana pengumuman dibuat beberapa hari selepas pertemuan mereka.
Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa dalam kenyataannya menolak penjelasan perdana menteri kononnya banyak subsidi yang terpaksa diberikan kerajaan kepada rakyat.
"Apa sangatlah subsidi RM4.4 bilion untuk seluruh rakyat jika dibandingkan dengan keuntungan besar Petronas yang dibelanjakan pula untuk projek yang tidak diperlukan negara," soal Nasharudin dalam kenyataannya.
sumber dari http://www.harakahdaily.net/
0 Comments:
Post a Comment
<< Home