Scroll images by bigoo.ws

Friday, March 03, 2006

Bom Karachi bunuh diplomat AS 48 jam sebelum Bush tiba

KARACHI 2 Mac - Lima orang termasuk seorang diplomat Amerika Syarikat (AS) terbunuh dalam letupan bom di luar Hotel Marriott, yang terletak bersebelahan konsulat AS di sini, hari ini.

Serangan itu mengejutkan ramai kerana ia dilakukan 48 jam menjelang lawatan Presiden AS, George W. Bush ke Pakistan.

Sekurang-kurangnya 46 orang cedera, kebanyakannya melecur.

''Lima orang terbunuh dalam serangan ini dan angka kematian mungkin meningkat. Banyak mayat ditemui di tempat kejadian,'' kata Penolong Penguasa Polis Karachi, Javed Akbar.
Menurut beliau, antara yang ditemui termasuklah mayat tanpa kepala berhampiran dinding hotel tersebut.

Para pegawai polis memberitahu, anggota separa tentera, seorang wanita dan pemandu kereta diplomat merupakan antara terbunuh.

Timbalan Ketua Polis Pakistan, Mushtaq Shah berkata, bom-bom yang meletup itu dipasang dalam kenderaan yang diletakkan di kawasan letak kereta Hotel Marriott, kira-kira 20 meter dari pintu pagar konsulat AS.

Bagaimanapun seorang pegawai polis enggan dikenali memberitahu AFP, kenderaan pacuan empat roda dinaiki diplomat AS itu dirempuh oleh pengebom berani mati, lalu menyebabkan letupan.

Kejadian itu merosakkan tingkap-tingkap bangunan konsulat, hotel dan bangunan berhampiran serta memusnahkan kira-kira 10 buah kereta.

Tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan itu.

Sementara itu, Bush yang sedang dalam lawatan ke India mengutuk serangan tersebut.

''Kami kehilangan sekurang-kurangnya seorang warga negara dalam serangan bom itu, seorang pegawai perkhidmatan luar negara dan saya ingin mengucapkan takziah kepada ahli keluarga dan orang-orang yang disayangi,'' katanya.
sumber dari http://www.utusan.com.my ( Jumaat / 3 March 2006 )

0 Comments:

Post a Comment

<< Home