Scroll images by bigoo.ws

Friday, March 03, 2006

Subsidi rakyat: Bagaimana kerajaan belanjakan RM4.4 bilion?

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Hrkh) - Persolan yang lebih besar dari kenaikan harga minyak ialah bagaimanakah kerajaan menggunakan RM4.4 bilion yang dijimatkan dengan kenaikan harga itu, kata Naib Presiden PAS Haji Mohamad Sabu. "Apabila kerajaan mengambil tindakan tergesa-gesa menaikkan harga minyak sehingga menimbulkan keadaan panik di dalam pasaran dan di kalangan rakyat terutama yang berpendapatan rendah, ia bukan sahaja menjimatkan lebih satu pertiga atau kira-kira RM4.4 bilion dari RM16 bilion subsidi minyak malah melepaskan bebanan itu kepada rakyat.
"Oleh itu, rakyat berhak tahu bagaimanakah wang itu dibelanjakan ketika kerajaan Pak Lah semakin dikaitkan dengan kelemahan membenteras rasuah, pengekalan menteri-menteri yang mempunyai imej rasuah dan penyelewengan serta lain-lain perkara yang mengkhianati kepercayaan rakyat," katanya.

Malah, katanya, selain kelemahan memerangi rasuah, pentadbiran kerajaan Barisan Nasional juga penuh dengan laporan mengenai ketirisan serta pembaziran dan penyelewengan wang kerajaan. "Perkara itulah yang merisaukan kita apabila kerajaan dapat mengambil balik RM4.4. bilion yang digunakan untuk mensubsidikan minyak untuk kepentingan rakyat," katanya. Jika wang sebegitu besar disalahgunakan untuk pembaziran dan penyelewengan, katanya, alangkah malangnya rakyat yang terpaksa menanggung beban yang sebegitu besar. Beliau juga mempersoalkan mengapa kerajaan begitu sibuk hendak memotong subsidi minyak untuk rakyat sedangkan subsidi gas untuk kapitalis-kapitalis tidak pernah diusik.

Subsidi gas RM14 bilion setahun

Sebelum ini, seorang lagi Naib Presiden PAS, Haji Husam Musa mempertikaikan subsidi gas yang bernilai RM14 bilon setahun yang dikeluarkan oleh kerajaan.
"Siapa yang untung dari subsidi ini. Yang untung adalah segelintir tauke besar yang memiliki Pembekal Tenaga Bebas (IPP) yang menggunakan gas ini sebagai sumber tenaga mereka seperti Ananda Krishnan, Yeoh Tian Lay dan Lim Goh Tong.

"Kerajaan tidak pernah ungkit subsidi ini tetapi subsidi bernilai RM16 bilion setahun untuk mengawal harga minyak yang dinikmati oleh 25 juta rakyat negara ini selalu diungkit-ungkit kerajaan," katanya.
Baginya, alangkah baiknya kerajaan mengkaji balik subsidi gas itu dan ditambah kepada subsidi minyak petrol dan diesel yang dinikmati oleh keseluruhan rakyat itu.

"Yang pasti, pengurangan subsidi kerajaan ke atas petrol dan diesel akan menaikkan harga barangan dan menyebabkan negara dilanda inflasi," kata Husam.

Kerajaan untung kerana rakyat pasif

Walaupun begitu, Mohamad Sabu menyifatkan kerajaan negara ini bertuah dan beruntung kerana sifat pasif rakyat negara ini.

"Rakyat Indonesia menunjuk perasaan membantah kenaikan harga minyaki manakala rakyat Thailand yang beragama Buddha pula lebih dekat kepada ajaran Islam dari rakyat negara ini yang beragama Islam apabila mereka bangkit beramai-ramai menentang rasuah," kata beliau.

Pelbagai kumpulan yang menyertai perhimpunan mendesak pengunduran Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang dikaitkan dengan rasuah besar-besaran sebelum ini sudah memberikan kata dua kepadanya untuk meletak jawatan dalam tempoh yang mereka tetapkan.

Mengulas jaminan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Shafiee Afdal bahawa kenaikan mendadak harga minyak setinggi 30 sen seliter hanya berlaku sekali dan tidak akan berlaku lagi tahun ini, Mohamad Sabu terus berkata: "Dalam masa seminggu lagi, apabila harga pelbagai barangan keperluan melambung tinggi berikutan kenaikan harga minyak, apa pula jaminan waktu itu?"

0 Comments:

Post a Comment

<< Home