Scroll images by bigoo.ws

Wednesday, April 05, 2006

Pembangkang rai kejayaan - Thaksin dipuji buat keputusan tepat

BANGKOK 4 April - Gerakan anti-kerajaan Thailand mengisytiharkan kejayaan hari ini selepas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra mengumumkan beliau akan meletakkan jawatan.

''Ini adalah kejayaan kami. Jika kita tidak saling bantu-membantu (dalam protes), ia tidak akan berlaku hari ini,'' kata seorang ketua utama protes anti-Thaksin, Chamlong Srimuang.

Perkembangan ini juga sekali gus membuktikan ramalan pakar astrologi bahawa Thaksin akan digulingkan sebelum pertengahan tahun ini.

Malam ini, Thaksin mengumumkan beliau akan berundur apabila Parlimen bersidang selepas pilihan raya yang penuh kontroversi yang turut dipulaukan oleh pihak pembangkang.

Chamlong merupakan mentor politik Thaksin, namun dia menentang Thaksin pada awal tahun ini dan membantu menganjurkan protes selama berminggu-minggu.
Beribu-ribu penduduk yang berhimpun di jalanan sejak beberapa bulan lalu menuntut Thaksin meletakan jawatan kerana didakwa mengamalkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Ketua Parti Mahachon yang memulaukan pilihan raya tersebut menyambut gembira keputusan Thaksin tersebut.

''Beliau telah membuat keputusan yang betul. Saya gembira dan memuji tindakan beliau. Sudah lama saya menantikan detik ini dan kini semuanya akan selesai,'' kata Sanan Kachornprasart kepada televisyen Thailand malam ini.

Sementara itu, Ketua Parti Demokrat, Ong-art Klampaiboon berkata, parti pembangkang juga amat gembira dengan keputusan itu.

Parti-parti pembangkang dijangka mengadakan pertemuan esok bagi membincangkan tindakan susulan.

Beberapa jam sebelum perkembangan terbaru itu, pembangkang Thailand menolak sebarang kompromi dengan Thaksin selepas pilihan raya umum kelmarin.
Sebaliknya mereka bertekad untuk meneruskan demonstrasi jalanan sehingga Thaksin berundur.

''Hari Perdana Menteri secara publik dan rasmi mengumumkan keputusan berundur merupakan hari kami berhenti adakan tunjuk perasaan,'' kata jurucakap parti Perikatan Demokrasi Raktar (PAD), Suriyasai Katasila di sini, hari ini.

Ekoran pengumuman Thaksin itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (EC) pula berkata, pembangkang boleh menyertai Parlimen dengan mengambil bahagian dalam pilihan raya kecil di 39 kawasan pada 23 April ini.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home