Scroll images by bigoo.ws

Monday, April 03, 2006

Rakyat tentukan nasib Thaksin

PERKEMBANGAN politik negara Asia yang paling menarik untuk diikuti sejak sebulan lalu barangkali boleh sahaja diberikan kepada Thailand.

Bermula Januari lalu apabila beliau didakwa memperdagangkan kepentingan negara kepada pihak asing ekoran penjualan Shin Corporation sehingga membawa protes yang tidak surut-surut gelombangnya selama lebih tiga minggu menyebabkan iklim politik Thailand tidak terlepas daripada menjadi sorotan.

Dan minggu ini juga perkembangan di Negara Gajah Putih itu masih tidak kurang daripada terus diberi perhatian utama.

Hari ini, Thailand akan mengadakan pilihan raya, ketika keadaan huru-hara di negara itu masih lagi berlaku, semasa suara-suara pembangkang mendesak Perdana Menteri Thaksin Shinawatra berundur masih bergema dan di kala tiga parti pembangkang utama memboikot prosedur berkenaan.

Apa yang bakal terjadi selepas pilihan raya sama ada Thaksin berundur, berlaku kemelut perlembagaan atau keadaan semakin tegang juga amat menarik untuk diikuti secara rapat.

Namun di sebalik kekalutan itu semua, pilihan raya tetap diteruskan. Prosedur perundangan bagi memilih kira-kira 500 ahli Parlimen sebelum kerajaan baru dibentuk berjalan seperti biasa.

Tetapi menariknya, hanya parti Thai Rak Thai (TRT), pimpinan Thaksin sahaja yang bertanding. Kalau dalam keadaan biasa, sudah pasti parti itu dan calonnya menang tanpa bertanding.

Dan luar biasa di Thailand pula, mana-mana calon yang berentap mesti mendapat sekurang-kurangnya 20 peratus undian sebelum disahkan menang.

Jika tidak, kemenangan mereka tidak diiktiraf dan pilihan raya pusingan seterusnya akan diadakan sehingga mereka mendapat 20 peratus undian kemenangan itu.

Mengambil kira senario itu, perkembangan di Thailand sebenarnya menjadi semakin kompleks, sekalipun selepas pilihan raya berakhir.

Kita ambil kira hujah ini. Di sesetengah tempat di Thailand yang menjadi kubu kuat Thaksin seperti di Chiang Mai, majoriti sudah pasti akan mengundi atau mudah kata tidak akan mengendahkan gesaan boikot pilihan raya oleh pembangkang.

Ini juga memberi kepastian bahawa TRT akan menang dan di sisi lain memberi kelebihan kepada Thaksin. Tetapi di tempat-tempat seperti selatan dan utara negara itu, cengkaman Demokrat, Mahachon tidak boleh dipertikaikan.

Para pengundi sudah pasti tidak akan keluar memangkah kertas undi dan keadaan ini menyebabkan calon bertanding, sekalipun hanya seorang, sukar mendapat 20 peratus undian sebagaimana diperlukan mengikut perlembagaan Thailand.

Tetapi lebih merumitkan, dalam perkembangan terbaru, dua hari sebelum pilihan raya berlangsung, TRT dilaporkan hanya menghantar senarai parti sebanyak 99 nama, bermakna jika 400 ahli Parlimen dipilih sekalipun, ia masih gagal membuahkan sebuah Parlimen penuh 500 ahli.

Ini kerana dijangkakan tiada parti lain dalam perebutan berkenaan membolot lima peratus daripada keseluruhan undi, syarat minimum untuk melayakkan menyertai senarai calon parti.

Perlu diingatkan bahawa daripada 500 ahli Parlimen yang dipilih, 400 ditentukan secara bertanding di kawasan manakala 100 lagi perlu mengikuti sistem senarai parti.
Apabila ini berlaku, pilihan raya akan diadakan sekali lagi dan sudah pasti masa menjadi hambatan.

Mudah kata, krisis perlembagaan akan melebar dengan tiada penyelesaian mutlak bakal dicapai. Ketidakcukupan ahli Parlimen juga tidak membolehkan mereka melantik Perdana Menteri.

Thaksin sendiri secara peribadi pernah bersuara bahawa beliau tidak akan berkhidmat sebagai Perdana Menteri jika partinya gagal mendapat lebih separuh daripada keseluruhan undian pada hari pilihan raya.

Dalam memperkatakan soal Thailand dan krisis politik negara itu, banyak hal yang perlu disentuh termasuk misalnya soal taktik Thaksin memastikan survival politik beliau dapat bertahan.

Kemenangan hampir pasti Thaksin dan TRT juga satu sudut hal lain yang menarik untuk diperkatakan jika berbincang mengenai krisis politik Thailand ini.
Umum mengetahui bahawa Thaksin diterima baik oleh sebahagian besar penduduk di luar bandar, tetapi beliau diganyang hebat oleh kumpulan kelas pertengahan selain golongan berpendidikan tinggi di bandar.

Perpecahan sokongan terhadap beliau ini membawa kepada kemenangan besar beliau pada pilihan raya tahun lepas. Sejumlah 60 peratus penduduk Thailand terdiri daripada golongan kelas bawahan dan tinggal di luar bandar.

Pada pilihan raya lalu, TRT menawan 376 daripada 500 kerusi manakala baki 124 lagi kerusi dimenangi Demokrat (97), Chat Thai (25) dan Mahachon (2).
Lebih 72 peratus daripada 44.8 juta pemilih yang layak, keluar mengundi pada pilihan raya 2005.

Pada pilihan raya kali ini, yang berlangsung tiga tahun lebih awal daripada sepatutnya, sebanyak 44.8 juta layak mengundi daripada jumlah keseluruhan penduduk Thailand seramai 63.7 juta orang.

Pilihan raya yang diadakan ini adalah cukup jelas, Thaksin dan TRT akan menang tetapi dengan satu persoalan berbangkit, cukup atau tidak untuk membentuk sebuah kerajaan baru, kata seorang penganalisis politik tempatan, Prof. Madya Mohamad Agus Mohamed Yusuff.

Beliau yang juga pensyarah di Jabatan Pengajian Politik dan Strategik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini berkata, sekalipun TRT dan Thaksin menang, ia tidak akan meredakan konflik atau menyusutkan gelombang kebencian terhadap Thaksin.

Katanya, gerakan anti-Thaksin dan protes jalanan akan berterusan sehingga Thaksin benar-benar berundur.

“Itu yang menjadi matlamat pembangkang. Tetapi mereka tidak ada isu kuat untuk menyingkirkan Thaksin. Dalam hal ini, mereka menggunakan protes dan tunjuk perasaan dengan harapan tentera atau institusi raja boleh masuk campur.

Pembangkang sendiri dapat menghidu bahawa Thaksin dan TRT telah diambang kemenangan. Apa yang mereka mahukan sekarang ialah supaya Raja Bhumibol Adulyadej sedikit bersuara lalu membuat keputusan menubuhkan kerajaan sementara sebelum pilihan raya lain diputuskan, kata Mohamad Agus yang bidang kepakarannya ialah pilihan raya.

Pensyarah di Jabatan Asia Tenggara, Universiti Malaya (UM), Dr. Mala Rajoo juga mahu berkongsi pandangan sama.

Kepada Mingguan Malaysia, beliau dengan ringkas berkata: Thaksin sangat bijak dalam mengikuti rentak politik. Perdana Menteri Thailand itu tahu apabila beliau pegang perut rakyat, protes tidak ke mana-mana manakala dakwaan rasuah dan kesalahan lain bukan lawan sebenar.

Di sudut lain, keadaan buruk di Thailand itu memberi sisi negatif kepada rakyat dan negara berkenaan.

Pada akhirnya, mereka yang mengikuti rapat perkembangan di Thailand akan membuat kesimpulan bahawa Thaksin sebenarnya bukan berjuang untuk rakyat, tetapi demi survival politiknya sendiri.

Sebahagian besar penduduk di luar bandar mengangkat Thaksin sebagai orang nombor satu yang mendengar dari hati dan perasaan masalah mereka.
Namun sebilangan lain menyamakan bekas polis itu sebagai kroni kapitalis yang telah mencetuskan huru-hara kepada ekonomi Thailand selain mempergunakan demokrasi untuk tujuan kepentingan keluarga dan rakan niaga
.
Krisis sejak beberapa bulan lalu yang telah pun terbukti memberi kesan kepada Thailand. Kemelut politik di antara pembangkang-kerajaan, masyarakat kelas di bandar dan luar bandar jangan diambil mudah.

“Ia boleh menjejaskan pelaburan, keyakinan dan industri pelancongan. Penangguhan perbelanjaan infrastruktur dan penswastaan tidak dapat dielakkan dalam keadaan krisis,kata seorang penganalisis firma sekuriti seperti yang dipetik oleh akhbar The Nation.

Lebih buruk, laporan ekonomi oleh Universiti Dewan Perdagangan Thai menyebut bahawa keluaran dalam negara kasar (KDNK) Thailand tumbuh pada kadar sangat perlahan iaitu 3.2 peratus daripada yang diramalkan sebelum ini sebanyak 4.5 peratus, seandainya konflik tidak dapat diselesaikan.

Protes jalanan juga menakutkan para pelancong dan lebih banyak pembatalan lawatan ke Thailand dijangkakan selepas ini.

Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand menyebut, dalam tempoh setahun lalu, 65,000 orang, kebanyakannya dari China dan Singapura telah membatalkan lawatan mereka ke Thailand ekoran konflik politik di negara berkenaan.

Keadaan huru-hara di Thailand akan berterusan, itu sudah pasti kerana pilihan raya bukan jalan keluar menyelesaikan masalah rumit seumpama itu.

Thaksin akan menang juga perkembangan yang hampir pasti. Cuma yang tidak pasti ialah apakah pemimpin berusia 53 tahun itu akan berundur dan jika beliau meletakkan jawatan, bilakah pula tarikhnya.

Pembangkang mahu Thaksin keluar. Itu matlamat mereka. Tetapi mereka tidak ada isu untuk membolehkan perkembangan itu berlaku.

Ditanya apakah Thaksin akan akur dengan kemelut ciptaannya itu, Mohamad Agus memberi pandangan begini: Thaksin akan jatuh sendiri. Masanya akan tiba. Perdana Menteri Thailand itu cuba mencari jalan keluar. Biarlah kita memberi masa kepada beliau untuk mencari waktu sesuai untuk berbuat demikian.

Tetapi beliau mengingatkan bahawa, protes jalanan dan kuasa rakyat sekarang barangkali tidak kena pada masa dan ketika. Ia tidak ada tempat di Thailand, disebabkan kehebatannya menjaga rakyat kelihatan lebih dominan. Justeru, kata beliau, memaksanya berundur secara protes adalah tidak bijak sama sekali.

Alangkah baik jika pembangkang menunggu beberapa minggu lagi kerana Thaksin tidak akan meletakkan jawatan sebelum pilihan raya memandangkan ia boleh menonjolkan beliau telah kalah,tegas beliau.

Penggal Thaksin sepatutnya tamat pada 2010.
Pembangkang sebenarnya mahukan penamat yang cukup hebat berhubung politik Thailand di era Thaksin ini.

Nyata sekali mereka mahu Thaksin berundur dan raja Bhumibol Adulyadej melantik kerajaan sementara sehingga pilihan raya boleh dilangsungkan.

Tetapi raja nampaknya lebih gemar untuk tidak mengambil pusing soal politik dan kemelutnya. Malah setakat ini tiada tanda-tanda menunjukkan institusi raja akan campur tangan sebagaimana yang beliau lakukan pada tahun 1992 semasa menamatkan rusuhan bertukar ganas melibatkan tentera serta penunjuk perasaan.

Campur tangan itu membawa kepada peralihan era pemerintahan tentera kepada demokrasi di Thailand.
Campur tangan raja adalah jalan salah kepada masa depan amalan demokrasi di Thailand. Saya berpandangan raja tidak akan berbuat demikian, kata Mala.

Jikalau begitu, apakah boleh dibuat kesimpulan bahawa hari ini bukan menjadi hari terakhir bagi Thaksin untuk berada di tampuk kuasa di negara berkenaan?

Pembangkang dan mereka yang anti-Thaksin barangkali terus kempunan manakala para penyokong bapa kepada dua anak itu boleh terus bersorak riang sehingga masa menentukan sebaliknya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home