Scroll images by bigoo.ws

Tuesday, April 04, 2006

SAR perlu anjakan hadapi cabaran semasa

DUNGUN, 4 April (Hrkh) - Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Haji Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Sekolah Agama Rakyat (SAR) perlu melakukan beberapa anjakan secara serius bagi menghadapi cabaran semasa.

Katanya, survival SAR sangat bergantung kepada komitmen yang tinggi di kalangan bukan sahaja pendirinya malah seluruh masyarakat yang sedar tentang kepentingannya sebagai sistem persekolahan pelengkap malah sebagai sebuah sistem alternatif.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya diwujudkan kepimpinan SAR yang berkualiti, mengusahakan sebuah persatuan kebangsaan yang dapat saling mengukuh dan saling membina kekuatan, mempersiapkan tenaga pendidik yang komited dan berketrampilan dalam bidang pendidikan.

Di samping itu, katanya SAR perlu menyediakan sebuah sistem latihan penguruan yang rapi dan berdisiplin tinggi, melaksanakan sebuah kurikulum pendidikan yang bersepadu, membangunkan sebuah biah persekolahan yang kondusif untuk pembentukan dan membangunakan potensi pelajar.

Beliau menyatakan demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Masa Depan Sekolah Agama Rakyat Menghadapi Cabaran Alaf Baru pada seminar sempena Hari Terbuka Madrasah Darul Bayan, Kampung Pinang Merah, Paka baru-baru ini.

Selain itu, tambahnya, pelajar SAR perlu dilengkapkan dengan kemahiran dan pendedahan mengenai realiti kehidupan serta cabaran semasa, mewujudkan kegiatan pelajar yang melengkapkan mereka dengan kefahaman dan kesedaran mengenai hal ehwal umat Islam di seluruh dunia, sukatan khusus untuk melatih mereka dengan kemahiran berorganisasi dan kepimpinan serta penyertaan aktif masyarakat untuk mendokong SAR.

Menurutnya, masa depan SAR di abad 21 ini sangat bergantung kepada kesediaan semua pendokong SAR untuk melakukan anjakan seperti yang diusulkan itu.

Tambahnya, anjakan itu adalah dalam rangka memulihara ketulenan matlamat SAR untuk menjadi institusi pendidikan Islam yang mantap bukan sahaja dari sudut orientasi malah juga dari sudut pengurusan , proses dan pendekatan pengajaran dan pembelajaran.

“Kami yakin SAR mempunyai masa depan kerana betapapun pihak yang cemburu dengan potensi SAR ingin melihat SAR tidak wujud di persada negara ini , namun hakikatnya masyarakat tetap meletakkan harapan yang tinggi kepada keupayaan SAR untuk berfungsi,” ujarnya.

Tegasnya, Teras percaya komitmen dan dedikasi pendidik-pendidik di SAR akan menjadi tunjung kekuatan untuk memperjuangkan matlamat suci merealisasikan sebuah sistem tarbiyyah yang mampu menyedia dan melahirkan pelajar yang soleh sekaligus pejuang Islam seutuhnya

0 Comments:

Post a Comment

<< Home