Scroll images by bigoo.ws

Sunday, April 02, 2006

Intipati ucapan PM ketika membentangkan RMK-9

KUALA LUMPUR 31 Mac - Berikut ialah antara intipati ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) di Dewan Rakyat hari ini.

* Kerajaan telah menggubal dan akan melaksanakan Misi Nasional 2006-2020- satu rangka kerja bagi agenda pembangunan negara dengan menggariskan langkah-langkah utama yang harus diambil bagi tempoh 15 tahun akan datang untuk mencapai Wawasan 2020.

* Misi Nasional mengandungi lima teras utama iaitu:

1. Meningkatkan nilai tambah dalam ekonomi negara;
2. Meningkatkan keupayaan pengetahuan, kreativiti dan inovasi negara serta memupuk "minda kelas pertama";
3. Menangani masalah ketidaksamaan sosioekonomi secara membina dan produktif.
4. Meningkatkan tahap dan kemampanan kualiti hidup; dan
5. Mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan negara

* Rancangan Malaysia Kesembilan 2006-2010 (RMK-9) akan dilaksanakan bagi mencapai kejayaan lebih unggul demi membina tamadun dan menjulang martabat negara.

* Dalam tempoh RMK-9, jumlah dagangan negara dijangka melepasi RM1 trilion buat pertama kalinya.

* Universiti Darul Iman di Terengganu dan Universiti Darul Naim di Kelantan akan dibina.

* Peruntukan RM1.15 bilion disediakan untuk menambah baik kemudahan sekolah luar bandar, khususnya di Sabah dan Sarawak.

* Sebanyak 180 sekolah rendah dan 229 sekolah menengah dan sekolah berasrama penuh akan dibina dalam RMK-9.

* Matlamat pertumbuhan KDNK sebenar adalah pada kadar purata 6 peratus setahun.

* Keluaran Negara Kasar (KNK) per kapita dijangka meningkat pada kadar purata 5.9 peratus setahun mencecah RM23,573 pada 2010 manakala KNK per kapita dari segi pariti kuasa beli dijangka meningkat kepada US$13,878 pada 2010.

* RM690 juta disediakan untuk membina rumah guru, hampir separuh daripadanya untuk rumah guru di luar bandar.

* RM1.51 bilion disediakan untuk program pengkomputeran sekolah manakala RM284 juta diperuntukkan untuk program pembestarian sekolah.

* Menjelang 2010, malaysia menyasarkan kedatangan 24.6 juta pelancong setahun.

* Program "pertanian baru" akan dibangunkan mencakupi perladangan komersial berskala besar, penggunaan ICT dan aktiviti yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi.

* RM11.4 bilion diperuntukkan kepada sektor pertanian.

* Jambatan kedua Pulau Pinang akan dibina bagi merangsang pertumbuhan di kawasan berdekatan merangkumi Pulau Pinang, Kedah dan Perak Utara.

* Lembaga kemajuan wilayah baru akan ditubuhkan di Sabah dan Sarawak bagi membangunkan kawasan pedalaman dan pusat pertumbuhan desa.

* RM1.2 bilion diperuntukkan untuk menambah baik bekalan air ke luar bandar, RM1 bilion bagi bekalan elektrik luar bandar, RM2.7 bilion bagi pembinaan jalan raya luar bandar dan RM900 juta bagi jalan kampung.

* Kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus pemilikan ekuiti bumiputera menjelang tahun 2020.

* Usaha akan dilakukan untuk meningkatkan pemilikan ekuiti etnik India kepada 3 peratus menjelang 2020.

* Sebuah suruhanjaya nasional akan ditubuhkan untuk mengawal selia pengangkutan awam manakala suruhanjaya khusus akan ditubuhkan bagi kawasan Lembah Klang.

* Terminal pengangkutan bersepadu akan dibina di Gombak dan Bandar Tasik Selatan sebagai hab transit ke Kuala Lumpur.

* Monorel Pulau Pinang dan Lebuh Raya Hubungan Penyuraian Timur di Johor akan dibina.

* Projek penyaluran air mentah antara negeri dari Pahang ke Selangor akan dilaksanakan.

* RM4 bilion akan dibelanjakan bagi projek tebatan banjir.

* Sebanyak 43,800 unit rumah kos rendah akan dibina melalui program perumahan rakyat.

* Syarikat Perumahan Negara Berhad akan membina 29,000 rumah kos rendah dan sederhana rendah.

* Kerajaan bercadang menubuhkan dua badan bertindak pelaksanaan negara -- yang pertama untuk memantau projek RMK-9 dan yang kedua bagi memantau program Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera generasi baru -- yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

* Majlis Tindakan Ekonomi Negara akan disusun semula bagi menumpukan kepada pelaksanaan program dan projek serta sistem penyampaian yang berkesan.

* Jawatankuasa bertindak sektor awam-sektor swasta akan ditubuhkan bagi mengemukakan cadangan pindaan kepada peraturan dan undang-undang yang berkaitan.

* RM200 bilion disediakan oleh Kerajaan Persekutuan bagi pembelanjaan pembangunan untuk mencapai Misi Nasional dalam tempoh RMK-9.

* Projek bernilai RM2O bilion lagi akan dilaksanakan melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta.

* Sektor swasta perlu menjadi peneraju pertumbuhan ekonomi sementara sektor awam sebagai pemudah cara pertumbuhan ekonomi dan penyedia kemudahan sosio ekonomi.

* Perdana Menteri dengan dibantu oleh Timbalan Perdana Menteri akan mengetuai jawatankuasa di peringkat tertinggi bagi memantau pelaksanaan RMK-9.

* Unit Perancang Ekonomi dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri, bertanggungjawab memastikan program yang dilaksanakan adalah selari dengan teras pembangunan dan mencapai objektif

0 Comments:

Post a Comment

<< Home