Scroll images by bigoo.ws

Saturday, January 28, 2006

ACCIN selar usaha heret isu kebebasan agama ke peringkat antarabangsa

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Hrkh) - Jawatankuasa Penyelaras Gabungan Badan-badan Bukan Kerajaan Islam (ACCIN) menyelar tindak tanduk kumpulan tertentu yang cuba mencabar Perkara 121 (1A) Perlembagaan berkaitan bidang kuasa mahkamah Syariah dan Sivil. ACCIN beranggap ia bertentangan sama sekali dengan semangat kewujudan bersama dan kontrak sosial yang sudah terjalin di negara ini.

Pengerusinya, Zaid Kamaruddin berkata, biar pun memorandum mengenai perkara itu yang dihantar sembilan menteri bukan Islam sudah ditarik balik, namun ada pihak berusaha untuk membawa isu kebebasan beragama tersebut ke forum antarabangsa.
“Pendekatan yang dipilih mereka dianggap cuba bersifat konfrantasi dan amat asing kepada budaya masyarakat negara ini yang terjalin erat sejak sekian lama,” katanya.

Baru-baru ini, Presiden MIC, Dato’ Seri S Samy Vellu bersama Dato’ Seri Ong Ka Ting, Dato’ Seri Chan Kong Choy, Dato’ Dr Chua Soi Lek, Dato’ Seri Dr Lim Keng Yaik dan tiga lagi menghantar memorandum kepada Perdana Menteri bagi mendesak disemak undang-undang berkaitan pertukaran agama.

Samy juga dilapor meminta kerajaan meminda perlembagaan sedia ada bagi memastikan hak orang bukan Islam di negara ini lebih terpelihara.

Isu itu sebenarnya tercetus selepas berlaku kontroversi pendaki Everest, Sarjan M Moorthy atau Mohamad Abdullah memeluk Islam sebelum kematiannya tanpa pengetahuan isterinya yang masih beragama Hindu.

Zaid berkata, lebih malang apabila ada akhbar yang memberi laluan kepada penyebaran pandangan-pandangan yang dianggap menghentam Islam.

“Kami berpandangan ulasan ini boleh menjurus kepada hasutan. Dan kerajaan sepatutnya mengambil perhatian serius kerana ia boleh menjejaskan keharmonian kaum,” katanya sambil mengesa media terbabit menghormati prinsip yang sudah dimaterai bersama.

Katanya, ACCIN turut mengalu-alukan dialog dengan rakan-rakan berlainan agama berhubung perkara tersebut berlandaskan prinsip kesopanan dan ketertiban.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home