Scroll images by bigoo.ws

Saturday, January 28, 2006

Anwar saman Mahathir atas dakwaan memfitnah

KUALA LUMPUR 27 Jan. - Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan saman bagi menuntut ganti rugi daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad atas dakwaan memfitnah beliau.

Anwar yang kini berada di Amerika Syarikat (AS) mendakwa Dr. Mahathir memfitnahnya dalam satu sidang akhbar di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada 9 September tahun lalu.
Writ saman tersebut difailkan melalui firma guaman Tetuan S.N. Nair & Partners di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini petang ini.Anwar bagaimanapun tidak menetapkan jumlah ganti rugi yang dituntut olehnya melalui saman tersebut.

Selain menuntut ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi pampasan, Anwar menuntut injunksi melarang defendan, ejen, pekerja atau sesiapa pun daripada melafaz, bercakap atau menerbitkan kata-kata menyinggung atau kata-kata yang mempunyai kesan terhadapnya atau memfitnah dirinya.

Dalam satu kenyataan ringkas yang dibaca oleh peguamnya, S.N. Nair, Anwar berkata meskipun Mahkamah Persekutuan telah membebaskannya pada September 2004, Dr. Mahathir tetap mengulangi tuduhan terhadapnya.``Saya kini tidak mempunyai pilihan kecuali untuk meneruskan saman ini,'' menurut kenyataan itu lagi.

Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar mendakwa, sidang akhbar Suhakam pada 9 September lalu itu dihadiri oleh beberapa wartawan dan perwakilan akhbar tempatan mahupun antarabangsa.
Dakwanya, Dr. Mahathir selaku defendan secara salah dan berniat jahat apabila bercakap mengenai plaintif (Anwar) dan kelakuannya sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Anwar yang kini merupakan pensyarah bersekutu kanan di St. Anthony's College, Universiti Oxford, United Kingdom dan profesor di Universiti Georgetown, Washington mendakwa, kata-kata menyinggung itu dalam maksud semula jadi dan biasa (natural and ordinary) adalah fitnah terhadapnya.

Anwar mendakwa, defendan melafazkan kata-kata tersebut dengan niat untuk merendah-rendahkan dirinya secara peribadi dan rasmi termasuk dalam kapasitinya sebagai bekas Menteri Kewangan dan bekas Timbalan Perdana Menteri.

Pada 23 September tahun lalu, Anwar menyerahkan surat tuntutan melalui peguamnya kepada Dr. Mahathir yang menuntut bekas Perdana Menteri memohon maaf secara bertulis dalam tempoh 14 hari kerana didakwa memfitnahnya, jika tidak akan disaman RM100 juta.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home