Scroll images by bigoo.ws

Thursday, January 26, 2006

PAS Melaka kesal kerajaan negeri serah sekolah agama pada Pusat

MELAKA 26 Jan (Hrkh) - Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka kesal dengan tindakan Kerajaan Melaka menyerahkan sekolah Rendah dan Menengah Agama Kerajaan Negeri kepada Kementerian Pelajaran Malaysia mulai Januari 2006, kata Setiausaha Perhubungan PAS Melaka Adly Zahari.Beliau berkata sepatutnya kerajaan Melaka mengekalkan sekolah tersebut ditadbir oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) memandangkan kemampuan dan pungutan wang zakat negeri meningkat setiap tahun.

Beliau berkata demikian ketika berceramah sempena lawatan kerja sehari Naib Presiden PAS Hj Mohamad Sabu ke Melaka di Markas PAS Solok Gaung Bukit Lintang malam tadi.

Selain Hj Mohamad Sabu turut hadir di majlis tersebut ialah Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Melaka Ustaz Minhad Mamad dan Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Melaka Hj Mohd Yasin Hj Abd Ghani dan Naib Ketua Angkatan Pemuda PKR Shamsul Iskandar.

Difahamkan sebanyak lapan buah Sekolah Menengah Agama termasuk Sekolah Menengah Agama Tahfiz JAIM telah diserahkan kepada kerajaan Pusat.

Sebelum ini Kolej Al Dirasat Al Islamiah Al Arabiah iaitu Pusat Pengajian berkembar dengan Universiti Al Azhar Mesir yang ditadbir oleh JAIM telah diserahkan kepada Kolej Islam Melaka yang terletak di Kuala Sungai Baru walaupun mendapat bantahan daripada para pelajar dan kakitangan kolej tersebut.

Menurut Adly kemanakah perginya wang zakat negeri yang boleh menampung pengurusan sekolah-sekolah tersebut.

"Barangkali untuk mengekalkan sekolah-sekolah tersebut di bawah kendalian negeri tidak memberi keuntungan kepada mereka," kata Adly.

Beliau berkata adalah sangat malang sebuah kerajaan negeri tidak berupaya mentadbir sekolah-sekolah tersebut sedangkan ada orang persaorangan mampu mendirikan dan mentadbir dengan baik sekolah Menengah Agama persendirian di Melaka.

Rakyat khasnya orang Melayu mesti berani menyatakan kebenaran, dan mendedahkan penyelewengan dan rasuah yang telah dilakukan oleh pemimpin kerajaan Negeri Melaka, kata beliau.

Kata Adly, Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang ditubuhkan untuk membantu orang Melayu ternyata gagal disebabkan penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang diamalkan oleh pemimpin-pemimpin kerajaan yang diterajui Umno

"Di Melaka, daripada 100 pintu rumah kedai yang ada, hanya lapan pintu sahaja kepunyaan orang Melayau," kata Adly.

Baru-baru ini kerajaan Melaka yang dipimpin oleh Dato' Seri Mohd Ali Rustam telah merobohkan Bazaar Mara sebanyak 22 pintu yang dianggap kawasan strategik tempat orang Melayu berniaga yang terletak di Jalan Laksamana Melaka.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri cukup pandai membuang wang rakyat dengan membina projek-projek membazir seperti Pulau Melaka yang tidak menguntungkan orang Melayu.

Kata beliau selagi orang Melayu hanya menjadi kontraktor membersih dan memotong rumput selagi itulah orang Melayu tidak akan maju.

"Sekiranya Umno masih terus berkuasa selagi itulah orang Melayu tidak akan berubah kecuali kita ubah kerajaan yang ada sekarang supaya orang Melayu lebih maju dan maruah Melayu Islam akan terjamin," katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home