Pilihan raya Palestin berjalan lancar, aman
BANDAR GAZA 25 Jan. - Rakyat Palestin membuang undi dalam keadaan aman dan meriah hari ini di tengah-tengah kawalan ketat serta lautan bendera hijau dan kuning dalam pilihan raya Parlimen pertama dalam tempoh sedekad.
Pengundian bersejarah itu memberi pilihan kepada rakyat Palestin sama ada hendak menyambung semula proses damai dengan Israel atau meneruskan konfrontasi dengan rejim Yahudi itu.
Parti Fatah yang memerintah dan pencabar utamanya yang berhaluan Islam, Hamas masing-masing menyuarakan keyakinan akan menang walaupun tinjauan pendapat umum menunjukkan keputusan terlalu sukar diramalkan.
Kedua-dua parti menyatakan mereka akan menimbangkan kerajaan campuran jika tiada pihak yang mencapai kemenangan mutlak.
Pilihan raya hari ini menandakan kali pertama penduduk Palestin diberi pilihan jelas antara dua kem politik sejak Hamas memulaukan pilihan raya Parlimen 1996.
Di seluruh Tebing Barat dan Genting Gaza, penduduk Palestin yang kelihatan penuh bersemangat untuk membuang undi berbaris panjang di luar pusat-pusat pengundian.
Sejumlah lebih 1.3 juta pengundi layak mengundi untuk memilih 132 ahli Parlimen.
Hamas dijangka membolot banyak kerusi Parlimen yang akan menempatkan mereka dalam sistem politik Palestin buat kali pertama dalam sejarah.
Mahmoud akan tetap mengetuai Pihak Berkuasa Palestin (PA) selepas pilihan raya tetapi Kabinet baru yang akan dibentuk dijangka melibatkan ramai anggota Hamas.
Pengundian hari ini berlangsung dalam suasana meriah, sesetengah aktivis parti menghiasi kereta mereka dengan bunga merah seolah-olah untuk majlis perkahwinan.
Kem pelarian Beach dekat Bandar Gaza dihiasi lautan bendera, hijau untuk Hamas dan kuning untuk Fatah.
Tidak banyak kekacauan dilaporkan sekalipun pada awalnya keganasan dikhuatiri meletus.
Di kem pelarian Balata, Tebing Barat, sekumpulan lelaki bersenjata yang mulanya mengancam untuk menghalang pengundian meletakkan senjata automatik mereka di pintu masuk sebelum membuang undi.
Bagaimanapun, pelampau Yahudi dan ahli Parlimen berhaluan kanan Israel cuba merempuh masuk ke sebuah pusat pengundian Palestin di Baitulmaqdis Timur tetapi dihalang oleh 75 anggota polis.
Di bandar Khan Younis, Genting Gaza, polis terpaksa melepaskan tembakan ke udara untuk menyuraikan sekumpulan pengundi yang berasak-asak hendak memasuki pusat pengundian.
Kira-kira 13,500 anggota polis ditempatkan di 1,008 pusat pengundian.
Hampir 20,000 pemerhati tempatan dan 950 pemantau antarabangsa diketuai oleh bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Jimmy Carter mengawasi pengundian.
Keputusan tinjauan pertama selepas pengundian dijadual disiarkan sejam selepas pusat pengundian ditutup pada 7 malam (1 pagi waktu Malaysia) manakala keputusan rasmi dijangka dikeluarkan dalam tempoh dari malam ini ke esok
sumber dari http://www.utusan.com.my/
0 Comments:
Post a Comment
<< Home