Scroll images by bigoo.ws

Wednesday, January 25, 2006

Bukan Islam harus berhenti persoal isu sensitif


Rakyat bukan Islam diminta menghentikan tindakan mempersoalkan peruntukan undang-undang syariat kerana ia boleh membawa persepsi buruk terhadap mereka di kalangan umat Islam."Kegagalan kita memahami segala hikmah di sebalik peruntukan peruntukan ini dengan menyerang institusi Mahkamah Syariah hanya akan memburukkan lagi persepsi orang Islam terhadap bukan Islam di negara ini."

Demikian sikap dan pandangan Lajnah Perpaduan Nasional PAS. Pendirian ini disampaikan dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh pengerusinya, Mujahid Yusof Rawa (gambar).
Pendirian ini dibuat oleh lajnah itu setelah mengikuti perkembangan isu pengislaman Moorti dan debat tentang hak dan kuasa Mahkamah Syariah.

Dalam konteks ini, Lujnah Perpaduan Nasional PAS mengambil sikap berhati-hati dalam menangani kes ini yang dianggap sebagai menguji kewibawaan artikel 121 (1A) dan sekaligus menyentuh persoalan sensitif tentang kewibawaan Mahkamah Syariah yang sedia ada dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Oleh yang demikian, lajnah itu melihat persoalan 121 (1A), mesti ditangani oleh semua pihak dengan penuh sikap bertanggunjawab dan tidak melihat isu ini dalam konteks politik sempit dan penuh emosi sehingga menggadai kepentingan negara dan perpaduan serta tidak menghormati semangat dan ruh Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, mereka menyeru semua pihak supaya;

"1. Tidak menimbulkan isu sensitif tentang urusan dan perkara yang dikhususkan untuk mentadbir hak hak orang Islam dalam perlembagaan negara, antaranya ialah hak perundangan yang dikuatkuasakan melalui peruntukan peruntukan dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah.

"2. Menghormati hak ke atas urusan umat Islam di Malaysia, sebagaimana yang diperuntukan oleh Syariat Islam yang suci dan tidak campurtangan dalam urusan ini sebagai melaksanakan peruntukan dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia PBB, bahawa mana mana penganut agama berhak melaksanakan amalan dan perintah agamanya tanpa prejudis.

"3. Berhenti daripada mempersoalkan peruntukan undang undang syariat terhadap persoalan memeluk Islam dan kemurtadan serta apa juga konsekuensi dari kes kes ini yang merupakan peruntukan di dalam agama Islam. Kegagalan kita memahami segala hikmah di sebalik peruntukan peruntukan ini dengan menyerang institusi Mahkamah Syariah hanya akan memburukkan lagi persepsi orang Islam terhadap bukan Islam di negara ini."Persepsi buruk ini jika berterusan akan mengancam perpaduan kaum dan saling hormat menghormati antara agama di negara ini yang telah ujud sejak sekian lama.

"4. Dakwaan dwi sistem kehakiman (mahkamah sivil dan mahkaman syariah) yang dikatakan menjadi masalah, sebenarnya mesti dilihat dari sudut sejarah perundangan negara yang sejak zaman kesultanan Melaka lagi telahpun menjadikan undang undang syariat sebagai tunggak penyelesian masalah perundangan. "Undang undang Sivil hanya dikenali di negara ini pada zaman penjajah yang membawa versi undang undangnya mengikut persepsi dan latarbelakang budaya dan sejarahnya untuk diadaptasikan dalam iklim masyarakat Malaysia. "Ujudnya Mahkamah Syariah di negara ini perlu diberi penghargaan kerana peranannya memelihara keamanan dan keharmonian sepanjang sejarah kita, bukan cacian dan penghinaan serta merendahkan status dan kewibawaanya.

"5. Peruntukan 121 (1A), perlu dilihat juga dalam peruntukan peruntukan lain tentang kedudukan Agama Islam dalam perlembagaan Persekutuan, khususnya hak negeri negeri menggubal undang undang bagi kepentingan orang Islam. "Usaha pindaan 121 yang dilakukan pada tahun 1988 adalah sebagai penegasan dan pengukuhan kepada memelihara bidang kuasa Syariah yang sebelum pindaan dilihat terkongkong dan tidak dapat melaksanakan bidangkuasanya yang berwibawa. Usaha meminda semula akan membawa jarum jam kebelakang dan sekaligus meremehkan usaha pakar pakar perundangan yang telahpun melihat dan membuat kajian terperinci bagi menyelaraskan bidang kuasa antara dua mahkamah yang diamalkan di Malaysia."

Menurut Mujahid, berpandukan kepada sebab sebab di atas, Lujnah Perpaduan Nasional PAS menyokong supaya 121 (1A) dikekalkan bagi menjamin perpaduan kaum dan bagi memelihara kesejahteraan dan ruh perlembagaan persekutuan yang menetapkan Islam adalah agama resmi persekutuan.

Sokongan mengekalkan 121 (1A) ini, katanya, walaubagaimanapun mestilah disertai juga usaha memperkemaskan pendekatan dan prosedur Mahkamah Syariah supaya memperuntukan hak bagi bukan Islam untuk menuntut dan dituntut di dalam Mahkamah Syariah.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home