Scroll images by bigoo.ws

Tuesday, January 24, 2006

Isu cadangan pindaan Perkara 121 (1A) - PAS mahu Umno perjelas pendirian!


PAS merakamkan sebesar-besar kebimbangan dengan rentetan pergolakan politik tanah air khasnya dalam isu cadangan pindaan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan, yang seandainya kepimpinan Perdana Menteri gagal menanganinya dengan berhemah, berpotensi mencetuskan krisis dan kemelut nasional yang boleh menjejaskan keharmonian dan keselamatan negara. Kebimbangan PAS ini ialah kerana kita hari ini menyaksikan ada pihak-pihak tertentu yang seumpama mahu ‘menangguk di air keruh’ seolah-olah jahil terhadap laluan getir sejarah perkembangan perundangan negara.

PAS ingin mengingatkan seluruh lapisan rakyat bahawa kami amat peka dengan kekhuatiran kaum bukan Islam-bukan Melayu dalam perbalahan yang tercetus mutakhir ini.

Namun PAS ingin mengingatkan bahawa Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan tidak sekali-kali menafikan hak dan kebebasan mereka mengamalkan agama dan budaya hidup mereka.

Tetapi PAS dan umat Islam tidak akan membiarkan sesiapa yang cuba mencabar apa jua peruntukan amalan dan perundangan Islam yang sedia sempit dan terbatas dalam Perlembagaan Persekutuan dengan memutarbelitkan isu sebenar sehingga menimbulkan keraguan dan perbalahan yang tidak perlu.

PAS memahami terdapat hari ini perlaksanaan selari perundangan ‘Common Law’ warisan penjajah British dan perlaksanaan terhad perundangan Islam dalam amalan Mahkamah Syariah. Pindaan 1988 yang memperuntukkan Perkara 121(1A) yang menyebut bahawa “Mahkamah Sivil tidak mempunyai kuasa (jurisdiction) ke atas Mahkamah Syariah dalam hal-hal yang menyentuh amalan Islam” adalah paling wajar dan tepat untuk membolehkan perlaksanaan perundangan selari.

PAS merasakan masalah yang timbul hari ini bukan kerana kelemahan undang-undang Syariah tetapi kerana perlaksanaan terhad yang diperuntukkan oleh Perlembagaan dan amalan Islam yang tidak sempurna oleh kerajaan BN.

PAS berpandangan bahawa memang sedia terdapat ruang yang seluas-luasnya kepada semua pihak termasuk bukan Islam untuk hadir dan mendapat keadilan di Mahkamah Syariah. Oleh yang demikian untuk mengelakkan sebarang keraguan, PAS mencadangkan supaya kedudukan ini diperjelaskan dalam undang-undang berkenaan.

PAS mendesak Perdana Menteri dan pimpinan Umno supaya menjelaskan pendirian mereka dan hentikan sikap berdolak-dalik dalam isu-isu yang menyentuh Islam dan ummatnya.

PAS memberi amaran kepada seluruh pimpinan masyarakat supaya tidak mengeruhkan suasana negara yang sedang berdepan dengan berbagai masalah sekarang dengan mencetuskan kegelisahan dan kekeliruan agama dan perkauman.

KENYATAAN MEDIA
DATO’ SERI TUAN GURU HJ ABDUL HADI AWANG
PRESIDEN PARTI ISLAM SE MALAYSIA
PEJABAT AGUNG PAS,
TAMAN MELEWAR
22 JANUARI 2006/ 22 ZULHIJJAH 1426

0 Comments:

Post a Comment

<< Home