Scroll images by bigoo.ws

Tuesday, January 24, 2006

Rasuah - Anwar, Mohd Sabu pertikai wibawa Abdullah Badawi

DATO' SERI ANWAR IBRAHIM dan HAJI MOHAMAD SABU dalam kenyataan yang berasingan, masing-masing mempertikaikan kewibawaan dan kemampuan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk membanteras gejala rasuah yang semakin kritikal dalam negara."Kuasa ada ditangan anda, mereka yang bersalah melakukan rasuah juga cukup terang dan diketahui umum. Nah! Apa susahnya?", persoal kedua-dua tokoh pembangkang itu.
DATO' SERI ANWAR IBRAHIM mengaitkan kegagalan memerangi rasuah berpunca dari Badan Pencegah Rasuah yang tidak kuat dan kegagalan memberikan kebebasan kepada media untuk membongkar dan menyelongkar kes-kes tersebut tanpa rasa bimbang akan diambil tindakan oleh kerajaan. "Apakah yang boleh menghalang Perdana Menteri bertemu dengan pengarang, dan (jika beliau) mahu memberi kebebasan kepada media, beliau boleh berkata kepada mereka: 'Anda diberi kebebasan berhubung isu-isu rasuah, proses demokrasi, suara pembangkang kerana saya telah memberitahu orang ramai bahawa kita mesti melakukan perubahan seperti itu'.
Apa yang sukarnya? "Beliau juga boleh memanggil Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan berkata: 'Buat siasatan dengan sempurna'. Saya tidak percaya Abdullah akan melakukan sesuatu yang drastik kerana itu bukan pembawaannya (untuk berbuat demikian), tetapi sekurang-kurangnya berilah sesuatu yang memperlihatkan kuasa dan kewibawaan kepada BPR.
Anda telah melantik orang yang paling lemah untuk mengendalikan badan itu, tetapi (pada masa yang sama), anda bercakap mengenai pembanterasan rasuah. Ianya tidak akan berjaya," kata Anwar.
Beliau menceritakan, sebelum ini – bagaimana sukar dan terbatas pun – negara mempunyai beberapa Ketua Pengarah BPR yang kuat.
"Tetapi di bawah (pentadbiran) Dr Mahathir, mereka menghadapi masalah. Ketika itu, saya mengenali Tan Sri Zulkifli (Mahmood) dan kemudiannya Datuk Shafie (Yahya) yang menjalankan siasatan. Kemudiannya apabila Mahathir berkata berhenti, mereka berhenti.
"Tetapi mereka teruskan siasatan dan apabila mereka melakukannya, mereka melakukan sedaya upaya mereka. Begitu jugalah siasatan mereka terhadap Tan Sri Ali (Abul Hassan) dari EPU (Unit Perancang Ekonomi). Tidak siapa yang berani menyentuhnya, tetapi BPR telah melakukannya," kata beliau.


NAIB PRESIDEN PAS, HAJI MOHAMAD SABU mempersoalkan sejauh manakah keinginan Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk memerangi rasuah telah menjadi kenyataan dan hanya siapa sahajakah di dalam kabinetnya yang menyokong pendiriannya itu?

Beliau membangkitkan persoalan itu mengulas kenyataan Abdullah yang disiarkan Bangkok Post baru-baru ini bahawa rasuah perlu dibanteras.

Bagaimanapun, Perdana Menteri mengakui bahawa ia bukan satu tugas yang mudah kerana bukti dan fakta perlu dikemukakan sebelum seseorang itu boleh didakwa.

"Sudah lama kita mendengar bukti dan fakta dijadikan alasan kegagalan pendakwaan begitu banyak kes rasuah yang dilaporkan. Adakah perkara itu benar? Dan, mengapakah di zaman Perdana Menteri pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, di mana menteri dan menteri besar sekalipun tidak terlepas dari hukuman, perkara itu tidak pernah dijadikan alasan oleh Tunku?" tanya beliau.

Mohamad Sabu juga mempersoalkan apa yang terjadi dengan 18 kes rasuah yang membabitkan individu berprofil tinggi termasuk menteri yang telah memasuki peringkat akhir siasatan yang didedahkan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang ketika itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Rais Yatim pada Februari 2004 lalu?

Menurut Rais, apabila prosedur akhir pengumpulan bukti oleh Jabatan Peguam Negara dan Badan Pencegah Rasuah selesai sepenuhnya, mereka akan dihadapkan ke mahkamah.

"Sekarang sudah hampir setahun perkara itu diumumkan, apa terjadi sebenarnya? Adakah Jabatan Peguam Negara dan Badan Pencegah Rasuah terlalu lembab membuat kerja sehingga belum selesai sepenuhnya?" tanya beliau.

Jika kerja kedua-dua jabatan kerajaan itu berlarutan sehingga setahun dan masih belum selesai lagi, beliau bertanya apa tindakan yang diambil oleh pentadbiran Abdullah untuk mengatasi perkara itu?

"Tetapi, jika kedua-dua jabatan itu telah selesai dalam prosedur akhir pengumpulan bukti, mengapa mereka yang terlibat tidak dihadapkan ke mahkamah?" soal beliau lagi.

Beliau menegaskan, Abdullah bertanggungjawab untuk menjawab perkara itu kepada rakyat kerana rakyat tidak pernah lupa mengenai perkara itu dan tetap ternanti-nanti penjelasan mengenainya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home