Scroll images by bigoo.ws

Wednesday, January 25, 2006

Pilihan raya Palestin

BAITULMAQDIS 24 Jan. - Israel, Amerika Syarikat (AS) dan masyarakat antarabangsa bersiap sedia menghadapi kemungkinan pergerakan Hamas memenangi pilihan raya Parlimen Palestin esok.

Berikut ini ialah senario yang boleh berlaku jika pertubuhan pejuang berhaluan Islam itu menang.
SOALAN: Bolehkah Hamas menang?

JAWAPAN: Tinjauan pendapat umum menunjukkan Hamas dan pergerakan Fatah pimpinan Presiden Mahmoud Abbas dalam kedudukan terikat.

Memandangkan sembilan parti kecil turut bertanding, baik Hamas mahupun Fatah kemungkinannya tidak akan memperoleh majoriti mutlak dengan membolot 67 daripada 132 kerusi.

Apa yang akan berlaku jika Hamas memenangi bilangan kerusi terbanyak?

Menurut undang-undang Palestin, parti yang memenangi kerusi terbanyak akan diminta membentuk kerajaan.

Bagaimanapun calon Parlimen yang juga pakar ideologi Hamas, Ghazi Hamad menegaskan pergerakan itu tidak mahu memerintah bersendirian dalam apa jua keadaan dan akan cuba membentuk kerajaan campuran terutamanya dengan Fatah.

Peranan apakah yang hendak dimainkan oleh Hamas dalam sebuah kerajaan campuran?

Hamas mahu kementerian-kementerian perkhidmatan seperti kesihatan, pendidikan serta kebajikan dan bersedia membiarkan Mahmoud mengendalikan hubungan dengan Israel termasuk rundingan.

Kebelakangan ini, pemimpin Hamas memberikan isyarat bercampur-baur. Mereka menyatakan mereka tidak menolak rundingan dengan Israel tetapi menetapkan syarat tertentu sambil mengakui mereka tidak menaruhkan harapan terhadap rundingan itu.

Adakah Israel dan masyarakat antarabangsa akan berurusan dengan sebuah kerajaan Palestin yang mempunyai menteri Kabinet daripada Hamas?

Israel, AS dan masyarakat antarabangsa masih berusaha untuk mempersetujui pendekatan sesuai.

Timbul perselisihan pendapat di Israel apabila seorang pegawai keselamatan kanan menyatakan Israel perlu mengadakan hubungan dengan Hamas dengan harapan untuk membawa pergerakan itu ke arah haluan lebih sederhana.

Namun pendirian rasmi Israel ialah terus memulaukan Hamas sehingga ia melucutkan senjata dan menggugurkan tuntutannya agar Israel dimusnahkan.

Adakah Fatah akan bersetuju untuk menyertai kerajaan campuran yang diketuai oleh Hamas?

Mahmoud menyatakan beliau akan meletakkan jawatan jika gagal meneruskan dasar rundingannya dengan Israel selepas pilihan raya.

Fatah tidak mungkin menyertai kerajaan Hamas kecuali mendapat jaminan Hamas tidak akan menyekat langkah damai Mahmoud.

Adakah Hamas akan bersetuju untuk melucutkan senjata seperti dituntut di bawah pelan damai tajaan AS?

Tidak mungkin. Hamas yang bertekad untuk menghancurkan Israel menegaskan sayap bersenjatanya tidak akan dibubarkan sehinggalah pendudukan Israel berakhir.

Namun Hamas belum menjelaskan wilayah yang dianggapnya sebagai diduduki - Tebing Barat dan Genting Gaza sahaja atau Israel itu sendiri.
sumber dari http://www.utusan.com.my 26 Januari 2006 ( Rabu )

0 Comments:

Post a Comment

<< Home