Hari penentuan masa depan Palestin
BANDAR GAZA, Semenanjung Gaza 24 Jan. - Lebih 1 juta penduduk Palestin akan keluar mengundi esok dalam pilihan raya pertama selepas 10 tahun bagi memilih 132 ahli Parlimen.
Pilihan raya kali ini juga merupakan peristiwa bersejarah berikutan penyertaan pergerakan Hamas yang pernah memboikot pilihan raya 1996 selepas menolak perjanjian damai Oslo 1993 kerana tidak mahu berdamai dengan Israel.
Hamas dilihat pesaing utama kepada Parti Fatah yang memerintah dan kedua-duanya telah melemparkan pelbagai tuduhan terhadap lawan masing-masing bagi menarik pengundi.
Pencapaian memberangsangkan oleh Hamas pada pilihan raya perbandaran tahun lalu serta pungutan suara menjelang hari pengundian mendapati kedua-dua parti utama Palestin ini akan membentuk kerajaan campuran.
Berbanding pilihan raya perbandaran yang didominasi isu kejayaan mengusir Israel daripada Semenanjung Gaza, kali ini kempen parti-parti politik menumpukan isu kepada rundingan damai Israel; penggunaan kekerasan; isu Baitulmaqdis, pelarian dan sempadan serta dan rasuah.
Hari ini semua parti-parti yang bertanding: Fatah, Hamas, Barisan Popular Pembebasan Palestin (PLFP); Palestin Merdeka; Barisan Ketiga; dan Barisan Alternatif membuat rayuan terakhir kepada para pengundi.
Di sebalik kempen dan saingan sengit yang ditunjukkan oleh Fatah dan Hamas, kedua-duanya telah menyatakan kesediaan untuk menjalinkan kerjasama membentuk kerajaan gabungan.
Hamas yang mencetuskan kebimbangan kepada Israel, Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Barat menyatakan, ia tidak akan membentuk kerajaan bersendirian jika menang majoriti.
Malah pergerakan yang terkenal dengan sayap tentera dan ikrar memusnahkan Israel memilih untuk memegang jawatan Kabinet berprofil rendah dan menyerahkan kepada pemimpin Palestin Palestin, Mahmoud Abbas untuk berurusan dengan Israel.
``Kami tidak akan membuat halangan kepada Abu Mazen (Mahmoud Abbas), tetapi kami mahu membetulkan dasarnya, menyokong beliau bagi mengembalikan hak Palestin,'' kata Ghazi Hamid, pakar ideologi Hamas yang juga merupakan salah seorang calon.
Suasana kempen yang meriah dapat disaksikan di seluruh Gaza dan Tebing Barat dengan para petugas parti menampalkan poster pada dinding dan tiang elektrik, menggantung kain-kain rentang serta menganjurkan perhimpunan.
``Jangan membiarkan seseorang mencuri kejayaan anda,'' kata calon Fatah, Samir Masharawi.
Para calon Fatah yang diketuai oleh Mohammed Dahlan turut mengadakan perarakan menuju ke kawasan kediaman Yasser Arafat dengan harapan menghidupkan memori terhadap ikon perjuangan Palestin serta menarik perhatian pengundi.
Sementara itu beribu-ribu penyokong Hamas menghadiri perhimpunan di bandar Hebron di Tebing Barat sambil mengibarkan bendera hijau dan poster-poster para pemimpin yang terkorban akibat tindakan Israel.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home