Scroll images by bigoo.ws

Tuesday, January 24, 2006

Mahkamah putuskan mayat Nyonya Tahir dikebumi cara Buddha


SEREMBAN 23 Jan - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini memutuskan supaya mayat Nyonya Tahir diserahkan kepada warisnya untuk dikebumikan mengikut upacara Buddha selepas wanita itu diisytiharkan sebagai bukan Islam ketika meninggal dunia.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mohd Shukor Sabudin selepas mendengar permohonan ex-parte perisytiharan Islam yang dikemukakan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Pengarah JHEAINS.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk mendengar dan membicarakan kes berkaitan kepentingan orang Islam, termasuk masalah akidah yang berlaku di negara ini.

Katanya, ia juga diputuskan berdasarkan kepada afidavit yang dikemukakan oleh anak bongsu Nyonya, Chiang Ah Fatt dan juga keterangannya bersama kakaknya, Chiang Kwang Ying, 43, di mahkamah hari ini.

Dalam penghakimannya, Shukor berkata, selepas mendengar serta meneliti keterangan waris Nyonya dan bukti yang dikemukakan di mahkamah, mahkamah memutuskan bahawa Nyonya Tahir, bernombor kad pengenalan 180425-04-5054 @ 02033418 bukan beragama Islam semasa kematiannya.

"Mahkamah membenarkan ahli-ahli waris si mati untuk menguruskan pengebumian mayat berkenaan. Mahkamah mengarahkan Hospital Tampin menyerahkan mayat kepada ahli-ahli waris si mati," katanya.

Terdahulu, Hakim Mohd Shukor memetik riwayat Sheikh Abu Sujak daripada Kitab Kifayatul Akhyar yang bermaksud:

"Barang siapa yang keluar daripada Islam, ia diminta bertaubat tiga kali. Jika bertaubat, dan jika tidak, dia dibunuh, dan tidak boleh dimandikan, tidak boleh disembahyangkan dan tidak boleh dikuburkan di perkuburan orang Islam".

Plaintif dalam permohonannya Jumaat lepas memohon keputusan mahkamah bagi menentukan status agama Nyonya dan permintaan keluarganya untuk mengebumikan mayat wanita itu mengikut adat Cina dan agama Buddha.

Peguam Syarie Siti, Harlina Shahran mewakili plaintif iaitu anak bongsu Nyonya, Chiang Ah Fatt, manakala Koo Chin Nam yang dibantu Kevin Koo S K bertindak sebagai peguam pemerhati bagi keluarga Nyonya.

Terdahulu, Siti Harlina memaklumkan kepada mahkamah bahawa Ah Fatt, 40, telah mengemukakan afidavit bagi meminta supaya mayat ibunya disemadikan mengikut adat Cina dan agama Buddha.

Kandungan afidavit itu antara lain berhubung keputusan laporan penyiasatan Pejabat Agama Islam Alor Gajah, Melaka pada 7 Mei 1986 mengenai laporan bersekedudukan antara Nyonya dan suaminya, Chiang Meng.

Dokumen penyiasatan itu ditulis oleh Pemeriksa Hal Ehwal Agama 1 Daerah Alor Gajah, Melaka, Ab Azit Abdullah melalui kadi daerah yang dialamatkan kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka.

Antara kandungan laporan siasatan itu ialah Nyonya dilahirkan pada 1918 di Alor Gajah, Melaka dan dipelihara sejak kecil oleh neneknya, seorang Melayu yang berkahwin dengan seorang mualaf Cina berketurunan Hailam.

Hasil penyiasatan itu mendapati sejak dipelihara oleh neneknya, wanita itu mendapat asuhan dan didikan mengikut budaya serta agama Buddha.

Pada 1936, ketika berusia 18 tahun, dia melangsungkan perkahwinan dengan seorang lelaki Cina bernama Chiang Meng dan dikurniakan 13 anak.

Sejak berkahwin, Nyonya mengamalkan ajaran Buddha dan memakan babi manakala suaminya itu tidak pernah memeluk Islam.

Abd Azit dalam laporannya berkata, hasil penyiasatan mendapati wanita itu membuat pengakuan untuk kekal dalam agama Buddha dan sekiranya mati, dia mahu disemadikan mengikut cara Buddha.

Ah Fatt turut mengemukakan akuan bersumpah ibunya yang mengatakan bahawa dia tidak akan kembali kepada Islam dan jika mati, dia mahu disemadikan mengikut adat Cina dan agama Buddha.

Ah Fatt semasa ditanya oleh mahkamah mengenai tujuan utama afidavit itu dibuat memberitahu bahawa ia bertujuan meminta mahkamah memulangkan mayat ibunya bagi disemadikan mengikut agama Buddha.

Ah Fatt berkata sepanjang hidup, ibunya tidak pernah mengamalkan ajaran Islam, tetapi secara konsisten mengamalkan cara hidup Cina dan menjadi penganut agama Buddha yang setia.

"Saya tinggal bersama ibu sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhir dan beliau pada sepanjang masa mengamalkan cara amalan agama Buddha dan tidak agama Islam," katanya.

Sementara itu, kakaknya, Chiang Kwai Ying, 43, pula berkata ibunya itu membuat wasiat dalam akuan bersumpahnya bahawa dia tidak akan kembali kepada agama Islam dan meminta disemadikan mengikut cara agama Buddha.

"Semasa ibu sakit baru-baru ini, dia berpesan supaya disemadikan bersebelahan kubur ayah kami.

"Nama Cina ibu saya ialah Wong Ah Kiu. Kami pada 1986 telah ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi urusan penukaran namanya itu tetapi ditolak," katanya.

Pegawai Agama Alor Gajah Melaka, Kamarul Saman Yaacub, 42, yang turut dipanggil memberikan keterangan, mengesahkan laporan yang dibuat oleh Ab Azit pada tahun 1986.

Beliau mengemukakan salinan asal dokumen itu kepada mahkamah.

Ketika ditanya oleh mahkamah berhubung tindakan susulan pejabat agama setelah menerima laporan bersekedudukan itu, beliau menjawab: "Saya tidak tahu."

Nyonya, 89, meninggal dunia kerana sakit tua kira-kira 4 petang, Rabu lepas di rumahnya di Taman Indah, Tampin.

Status agama Nyonya disedari oleh anggota polis di Balai Polis Tampin apabila anak dan cucunya datang membuat laporan kematian.

Ini kerana dalam salinan kad pengenalan Nyonya jelas menunjukkan dia Melayu dan beragama Islam sedangkan anaknya menggunakan nama Cina dan beragama Buddha

0 Comments:

Post a Comment

<< Home