Scroll images by bigoo.ws

Sunday, January 22, 2006

DUPP kesal sebahagian menteri kabinet pertikai Undang-Undang Keluarga Islam WP

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Hrkh) - Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) kesal dengan sikap sebahagian menteri kabinet yang mempertikaikan satu undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 2005 yang telah diluluskan dalam Dewan Rakyat dan Negara.


Setiausahanya, Dr Badaruzaman Mohd Yusof berkata, keputusan mempertikaikan undang-undang itu dilihat seperti mereka akur dengan tuntutan sebahagian kecil aktivis wanita yang dikatakan perihatin dengan isu ketidaksamaan dalam undang-undang tersebut. Menurut beliau, sekiranya tindakan mempertikaikan undang-undang itu berterusan ia boleh menyebabkan krisis undang-undang dalam negara. Bagi mengatasi isu itu berlarutan, beliau mencadangkan supaya Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) khususnya dan Jawi supaya mengikut langkah yang telah diambil oleh kerajaan negeri Terengganu semasa diperintah PAS.
Katanya, kerajaan Terengganu sebelum meluluskan kanun jenayah syariah telah memberi peluang kepada seluruh rakyat untuk membahaskan kandungan undang-undang itu dalam seminar, perbincangan dan forum sehingga rakyat berpuashati dan faham isi kandungan tersebut, barulah enakmen itu diluluskan di Dewan Undangan Negeri (Dun).
Berhubung dengan undang-undang tersebut, Dewan Ulama mengambil kira pandangan yang diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Abdullah Mat Zin dalam perbahasan Dewan Rakyat pada 27 April 2005 lalu yang menyebutkan seperti berikut: "Undang-undang Syariah yang hendak digubal untuk dilaksanakan oleh Jawi ianya akan digubal oleh Jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Teknikal Syarak dan Sivil yang diuruskan oleh Jakim. Setelah digubal dan dihalusi oleh Jawatankuasa itu maka pandangan daripada pelbagai pihak diperolehi seperti Mufti, Ketua Hakim Syariah, Penasihat Undang-undang dan sebagainya." Sehubungan itu, Dr Badaruzaman berkata, kenyataan Abdullah itu membuktikan bahawa undang-undang yang didakwa tidak adil kepada wanita telah diperhalusi oleh semua pihak dan tidak mungkin pihak berkenaan sengaja mengubal undang-undang yang dikatakan menzalimi pihak wanita. "Kita dapati golongan yang menentang undang-undang ini terdiri daripada enam persatuan yang sebahagian besar daripada mereka tidak mewakili organisasi Islam," jelasnya.
Kata beliau, jika benar akta yang disediakan bertentangan dengan kehendak syarak maka sudah tentu pihak yang terlibat akan membetulkan semula sebelum undang-undang itu diluluskan. Tambahnya, apa yang dikatakan menzalimi pihak wanita hanyalah andaian semata-mata kerana tidak munasabah pihak hakim akan menjatuhkan hukuman yang bertentangan dengan undang-undang Islam khususnya undang-undang keluarga. Menurut beliau, sebagai contoh di bawah seksyen 23 (9) (D) yang menyebutkan; Mahkamah mempunyai kuasa atas permohonan mana-mana pihak kepada perkahwinan... "Golongan yang mempertikaikan perkataan (mana-mana pihak) boleh dikatakan berlaku kepada pihak lelaki dan wanita, sedangkan kita dapati tidak munasabah pihak mahkamah akan membenarkan lelaki memberikan harta yang dimiliki oleh wanita kepada lelaki," sambungnya. Ini kerana katanya, andaian yang disebutkan itu (hak suami untuk menuntut harta sepencarian daripada harta bahagian suami apabila berpoligami dan tidak munasabah suami menuntut hak isteri (berdasarkan andaian).
Justeru, Dewan Ulama berharap pihak kerajaan terus melaksanakan undang-undang itu kerana ianya telah diluluskan di Dewan Rakyat dan Negara. Beliau berkata, jika sekiranya didapati kekurangan selepas dilaksanakan maka pindaan itu boleh dilakukan oleh kerajaan dari semasa ke semasa. Selain itu Dewan Ulama turut kesal dengan kenyataan sumbang yang tidak berasa dibuat oleh pihak tertentu yang mempertikaikan hak talak diberikan kepada suami dan perkara itu tidak patut berlaku dalam sebuah negara Islam di Malaysia. "Kita minta pihak kerajaan jangan terpengaruh dengan pihak tertentu yang cuba mempertikaikan segala peraturan dan undang-undang yang telah diluluskan. Kita minta kerajaan mengambil tindakan yang lebih tegas kepada kumpulan ini untuk mengelak berlakunya salah faham," katanya.
Dewan Ulama PAS mencadangkan supaya kerajaan memantau kegiatan mereka supaya tidak timbul huru hara daripada segi memahami Islam kerana ianya agama lengkap dan sempurna

0 Comments:

Post a Comment

<< Home