Scroll images by bigoo.ws

Friday, January 20, 2006

Web hina Al-Quran

KUALA LUMPUR: Sebuah laman web luar negara didapati mempersendakan agama Islam dengan memaparkan gambar yang menghina al-Quran, termasuk disumbatkan ke dalam mangkuk tandas.

Ia turut menyiarkan karikatur kononnya naskhah kitab suci umat Islam itu boleh dijadikan pengelap punggung di tandas.Pengerusi Lembaga Teks Al-Quran Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN), Datuk Seri Harussani Zakaria menyifatkan gambar yang dipaparkan dalam laman web itu sebagai penghinaan yang sangat dahsyat terhadap Islam.
“Perbuatan ini dilakukan orang tertentu bertujuan menghina kesucian Islam.“Islam mengajar penganutnya menghormati kepercayaan penganut agama lain dan tidak pernah menghina mereka.“Kejahilan pereka laman web itu menghina al-Quran secara tidak langsung menunjukkan mereka tidak beretika dan memusuhi agama lain,” katanya yang dihubungi, semalam.
Beliau yang juga Mufti Perak berkata, al-Quran diturunkan Allah untuk menjelaskan satu persatu hukum syarak yang diwajibkan ke atas umat manusia hingga ke hari kiamat.“Al-Quran adalah kalamullah yang wajib dimuliakan, malah untuk memegangnya, kita perlu berwuduk. Ia adalah kalamullah yang memberi penjelasan kepada semua perkara, tiada sebarang syak atau ragu datangnya daripada Allah, Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam,” katanya. Menurut Harussani, beliau banyak kali menerima aduan mengenai tindakan pihak tertentu menghina agama Islam, termasuk mengeluarkan barangan mengandungi ayat al-Quran pameran merata tempat dan laman web.
“Saya nasihatkan umat Islam supaya mengabaikan laman web seperti itu. Masih banyak laman web bagus dan boleh membantu umat Islam.“Umat Islam yang menerima kiriman gambar itu perlu peka, usah sebar kepada rakan kerana hanya menambah kekusutan dan dikhuatiri boleh menghiris perasaan kerana merasai terhina,” katanya.
Sementara itu, seorang pembaca Harian Metro yang mahu dikenali sebagai Jamakyah Sharuddin, 25, dari Petaling Jaya, berkata dia menerima alamat laman web terbabit daripada rakan untuk penelitian dan mendapati ia penuh dengan unsur penghinaan terhadap al-Quran.“Saya terkejut sebaik menatap gambar dalam laman web itu yang memaparkan al-Quran dicampakkan ke dalam mangkuk tandas.
Lebih keji, ada gambar memaparkan kitab suci itu dilumuri najis.“Ia seolah-olah menunjukkan kebencian pereka laman web itu terhadap Islam. Turut diselitkan jenaka mempersendakan al-Quran kononnya boleh dijadikan pengelap jika kehabisan tisu tandas,” katanya.
Jamakyah yang bertugas sebagai pengurus di sebuah restoran makanan segera, menyatakan apa yang membimbangkan laman web itu mampu meledakkan kemarahan umat Islam sehingga mencetuskan ketegangan,” katanya.
Penyelaras Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin pula berkata KKDN perlu lebih kerap memantau laman web seumpama itu berikutan internet mempunyai pengaruh besar kepada masyarakat sekarang.“PPIM juga ada menerima aduan mengenai isu menghina Islam yang disiarkan di internet. Nampaknya semakin berleluasa dan perlu dibanteras. “Bagi saya, laman web seumpama ini perlu disiasat dan jika didapati cuba menimbulkan keadaan tidak tenteram, ia harus ditutup,” katanya.
Menurutnya, KKDN mempunyai mekanisme menyekat laman web yang boleh membawa kepada tanggapan serong terhadap sesuatu agama.“Pereka laman web itu cuba mempermainkan Islam dan mencetuskan sentimen agama di antara umat Islam dan bukan Islam,” katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home