Hak kebebasan beragama bukan lesen untuk pertikai Islam
DEWAN PEMUDA PAS PUSAT memberi amaran kepada mana-mana pihak dalam negara bahawa mereka tidak akan dibenarkan sewenang-wenangnya menghina dan menghentam Islam semata-mata untuk memperjuangkan hak kebebasan beragama.Ketuanya, Salahuddin Ayub berkata PAS cukup sedar dengan agenda pihak tertentu dan tidak akan sekali-kali membenarkan maruah Islam dicalari oleh sesiapa juga.
Dewan Pemuda PAS akan mengadakan kempen ke seluruh negara bagi menjelaskan mengapa cadangan meminda Perkara 121 (1A) Perlembagaan Malaysia perlu ditentang.
Cadangan itu, jika dibuat, dijangka akan membunuh kuasa Mahkamah Syariah dan mahkamah sivil boleh memansuhkan keputusan mahkamah Syariah sehingga ke peringkat tidak ada makna lagi mahkamah Syariah bersidang untuk membuat apa jua keputusan.
DPP juga akan menghantar memorandum kepada Raja-Raja Melayu melalui Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu pada 23 Januari ini.
Beliau memberitahu, kempen penerangan yang pertama akan diadakan di Kuala Lumpur pada 25 Januari ini.
"Dalam perhimpunan itu kita menjemput kesemua pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) umat Islam untuk berucap mempertegaskan sikap masing-masing terhadap perkara itu," katanya.
Ketika ditanya adakah Pergerakan Pemuda Umno juga akan dijemput untuk bersama-sama dalam perhimpunan itu, Salahuddin memberitahu kesemua NGO umat Islam akan dijemput tanpa mengira kepentingan politik.
"Perkara ini mencabar maruah dan harga diri kesemua umat Islam tidak kira PAS, Umno atau mana-mana pihak sekalipun. Perbezaan politik tidak lagi menjadi perhitungan kerana kesemua umat Islam akan menanggung kesan buruk jika Perkara 121 (1A) itu dipinda, tidak kira apa jua fahaman politik mereka," jelas beliau.
Beliau melahirkan keyakinan isu ini akan menjadi pemangkin perpaduan di atas asas yang lebih jelas di kalangan umat Islam negara ini.
"Saya tidak fikir ada mana-mana pihak yang akan menolak kesempatan untuk membela kedaulatan undang-undang dan mahkamah Syariah yang hendak dimusnahkan samasekali," kata beliau.
Selain mengadakan ceramah-ceramah penerangan, kempen itu akan meliputi forum dan diskusi serta program-program yang memberi peluang kepada semua rakyat yang hadir untuk bersuara mengenai perkara itu.
Salahuddin juga tidak menolak kemungkinan pelbagai usaha lain akan dibuat termasuk mewujudkan pautan (link) khas dalam laman web PAS mengenai usaha bersepadu itu.
"Kita akan berusaha untuk mengambil semua pendekatan dalam cara aman bagi memperjuangkan kedaulatan mahkamah Syariah dan menolak pindaan tersebut kerana penghinaan kepada sikap tolak ansur umat Islam negara ini sudah sampai ke peringkat melampau dan tidak boleh diterima lagi," tegas beliau.
Beliau mempersoalkan tipu-muslihat pihak-pihak yang mendesak supaya pindaan itu dibuat yang kononnya atas nama kebebasan beragama.
"Kebebasan agama apa kalau yang mereka laungkan sebagai kebebasan agama itu hendak didirikan di atas pembantaian dan pembunuhan kebebasan kita untuk mengamalkan kehendak dan syariat agama kita?
"Adakah mereka hendak mewujudkan kebebasan agama dengan mengISAkan hak kita untuk mengamalkan ajaran agama kita, iaitu undang-undang dan kedaulatan mahkamah Syariah di negara ini? Sedangkan, undang-undang Syariah hakikatnya adalah versi perundangan Islam yang paling lemah," soal beliau
0 Comments:
Post a Comment
<< Home