Musibah tingkat ketakwaan, keredaan ummah
MANUSIA tidak lari daripada berdepan dengan pelbagai ujian hidup. Kemiskinan, penyakit, kegagalan, dan perkara tidak diingini sering berlaku. Justeru, setiap orang perlu menguatkan jiwa untuk mengharung segala ujian dengan penuh keimanan dan ketakwaan.
Sesungguhnya setiap ujian hidup tersedia ganjaran besar untuk mereka yang bersabar dan reda dengan ketentuan Allah. Setiap musibah atau kecelakaan yang menimpa menuntut kesabaran tinggi untuk menghadapinya. Allah menguji setiap hamba-Nya dengan pelbagai musibah.
Allah berfirman bermaksud: "Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan." (Surah al-Anbiya, ayat 35)
Ketika berdepan musibah, seharusnya kita mengambil iktibar atau memahami mengenai beberapa perkara. Itulah tanda kekuasaan Allah. Apabila Allah menurunkan sesuatu ujian, secara langsung mengingatkan kita tentang kekuasaan Allah. Dia berkuasa menentukan segala apa yang diinginkan.
l Meningkatkan takwa.
Musibah berlaku akibat kelalaian manusia tidak menjauhkan diri pada perkara ditegah dan tidak melakukan perkara yang disuruh.
Firman Allah bermaksud: "Dan apa juga yang menimpa kamu daripada kesusahan (bala bencana) maka adalah disebabkan oleh apa yang kamu lakukan (perbuatan salah dan dosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian daripada dosa kamu." (Surah asy-Syura, ayat 30).
Apabila berlaku perkara tidak diingini, kita akan sedar kesilapan yang dilakukan. Lalu, manusia akan kembali bertaqwa dan mendekatkan diri kepada Allah.
l Muhasabah diri.
Musibah yang menimpa diri berpunca daripada diri sendiri. Seharusnya kita mencari puncanya agar tidak mengulangi kesilapan sama. Setiap musibah mesti dihadapi dengan cekal, sambil berusaha dan berdoa agar segera berkurangan atau hilang kesukaran yang sedang dihadapi. Pada masa sama memperbanyakkan beristighfar memohon taubat. Firman-Nya dalam surah ar-Rum, ayat 33 bermaksud: "Dan apabila manusia ditimpa kesusahan, mereka akan berdoa kepada Tuhannya serta bertaubat kepada-Nya."
l Peluang memperbaiki kehidupan.
Musibah yang dihadapi secara positif sebenarnya satu rahmat. Allah menurunkan musibah sebagai peringatan terhadap kesalahan yang telah dilakukan.
Dengan itu, kita dapat memperbetul atau meninggalkan kesalahan yang dilakukan. Justeru, kita seharusnya bersyukur dikenakan musibah sebagai ujian. Namun, jangan pula kita memohon agar dikenakan musibah. Kita juga perlu bersyukur mengenai konsep balasan dan ujian melalui musibah. Berat musibah di dunia ini, tentulah lebih berat lagi di akhirat nanti.
Hadis diriwayatkan oleh Muslim menyebut: "Sesiapa saja di kalangan umat Islam yang ditimpa kesakitan daripada penyakit, maka tidak ada selainnya melainkan Allah akan menggugurkan kejahatannya (dosa kecil) dengan sebabnya seperti mana pokok menggugurkan daunnya."
Pengampunan dosa melalui musibah hanya berkesan jika kita menginsafi, menghadapi dengan reda, sabar dan memohon keampunan dengan bertaubat.
Firman Allah bermaksud: "Mereka yang ditimpa musibah mengucapkan: Kita semua kepunyaan Allah dan kepada Allah kita akan kembali. Mereka itulah akan mendapat keberkataan sempurna dan rahmat daripada Tuhan mereka dan juga orang yang mendapat petunjuk." (Surah al-Baqarah, ayat 156-157).
Sebaliknya, jika musibah itu dihadapi dengan perasaan angkuh, duka cita, tidak sabar dan menentang takdir, maka jadilah sebahagian daripada balasan di dunia. Di akhirat nanti balasan lebih berat menanti.
Musibah membabitkan seluruh penduduk seperti wabak penyakit, banjir, kemarau dan gempa bumi terkandung banyak hikmahnya.
Rasulullah bersabda diriwayatkan at-Tirmizi bermaksud: "Apabila Allah mencintai sesuatu kaum, maka Dia menguji mereka. Sesiapa yang reda, ia akan mendapat keredaan Allah dan sesiapa yang marah, ia akan mendapat kemurkaan Allah."
l Menghargai nikmat.
Kita biasanya mudah lupa nikmat yang dinikmati selama ini. Jika ditimpa musibah, baru merasakan betapa selama ini kita telah dilimpahkan dengan banyak nikmat.
Tokoh ulama terkenal, Ahmad Asy-Syarbasi mengatakan bahawa di sebalik penyakit ada hikmah dan nikmat iaitu berehat daripada segala kesibukan dan kesedihan; memperoleh pelajaran; mendidik sifat ego manusia dan kesombongannya serta membuka jalan mengingat Allah dan menghapus dosa.
Penyakit dan musibah bagi orang tidak beriman adalah azab, tetapi jika menimpa orang beriman adalah kebajikan. Rasulullah SAW bersabda: "Jika Aku (Allah) timpakan bencana pada dua benda yang dicintai (dua matanya) hambaku lalu ia sebar, Aku akan gantikan kedua-duanya dengan syurga." (Hadis riwayat Bukhari).
l Peluang untuk mendapat lebih baik.
Setiap musibah yang menimpa kita perlu diusahakan jalan cara untuk mengatasinya agar keadaan kembali kepada asal atau lebih baik lagi.
Anggapan mengatakan setiap cubaan daripada Allah hanya perlu dihadapi dengan reda dan berserah kepada takdir adalah fahaman salah. Allah menyuruh kita berusaha mendapat sesuatu yang baik. Berusaha mengubah apa yang ditakdirkan oleh Allah bukan bermakna melawan kekuasaan Allah. Usaha itu lari daripada satu takdir untuk menghadap takdir yang lain.
Allah memberikan kita akal untuk memikirkan perkara kebaikan dan menyelesaikan permasalahan. Berserah kepada Allah semata-mata tanpa berusaha, bermakna tidak menggunakan keistimewaan akal dan kebolehan dikurniakan oleh-Nya.
Sekiranya kita menerima sesuatu musibah dengan reda dan tenang, Allah akan membuka rahmat-Nya dengan seluas-luasnya. Keadaan fikiran tenang dan bijaksana memudahkan usaha pemulihan.
Sebaliknya, perasaan tidak menentu, takut dan marah akan menjadikan keadaan lebih kelam kabut. Sikap tidak dapat menerima hakikat apa yang menimpa diri dan mudah berputus asa mencampakkan diri dalam kebinasaan.
Firman Allah bermaksud: "Apa saja nikmat yang kamu peroleh adalah daripada Allah dan apa saja bencana yang menimpa kamu, maka daripada (kesalahan) diri kamu sendiri." (Surah an-Nisa, ayat 79).
0 Comments:
Post a Comment
<< Home